BELUM bertemu pengganti, pelakon Nora Danish mengakui anak sulungnya, Putra Rayqal, sudah memberikan restu sekiranya dia berhasrat kembali mendirikan rumah tangga.
Nora atau nama lengkapnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 44, berkata, anak lelakinya yang kini berusia 17 tahun itu malah sering menyuarakan hasrat agar dia kembali bergelar isteri kerana tidak mahu melihat ibunya hidup kesepian.
Menurut Nora, Rayqal memahami bahawa suatu hari nanti dia juga akan mempunyai kehidupan sendiri dan tidak sentiasa berada di sisi ibunya.
Anak sulung saya selalu cakap, ‘Mummy, saya rasa mummy patut berkahwin lagi kerana saya tak mahu mummy sunyi.’
“Dia faham apabila sudah besar nanti, dia juga akan mempunyai kehidupan sendiri. Sebab itu, dia selalu sarankan saya berkahwin supaya tidak keseorangan,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil Allahyarham Tun Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana, baru-baru ini.
Tidak pernah menutup pintu hati, ibu kepada dua cahaya mata itu bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya soal jodoh kepada ketentuan Allah.
Malah, pelakon itu sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan lelaki yang baik, sekali gus mampu membimbingnya ke arah kehidupan yang diredai.
Saya memang sentiasa berdoa semoga Allah peliharakan saya dengan cara yang baik di mata-Nya. Itu paling penting.
“Tak kisahlah siapa pun, selagi Allah kata itu yang terbaik, saya akan merelakan dan membuka pintu hati,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nora menjelaskan anak-anaknya tidak pernah mencampuri urusan peribadi, termasuk memberikan penilaian terhadap lelaki yang pernah dikaitkan dengannya.
Mengulas kemungkinan berjodoh dengan lelaki daripada industri hiburan, Nora mengakui sejak dahulu dia hanya menganggap rakan-rakan selebriti sebagai teman seperjuangan.
Bagaimanapun, dia tidak pernah menetapkan sebarang kriteria bahawa bakal pasangan hidupnya mestilah daripada luar industri seni.
“Saya tak kisah jodoh saya siapa pun. Cuma naluri saya dari awal memang melihat rakan sekerja sebagai teman seperjuangan semata-mata.
“Cuma kita tak tahulah kalau Allah tentukan hati saya suatu hari nanti dengan lelaki yang sama profesion,” katanya.
Untuk rekod, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, sebelum bercerai pada 2008.
Pada 2017, Nora sekali lagi mendirikan rumah tangga dengan Nedim Nazri. Bagaimanapun, perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian pada 19 Jun 2024. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang lagi putera, Mohamed Neqayl. – HIBGLAM

