DITAWARKAN bermadu, pelakon, Nora Danish mengakui belum tentu mampu merelakan suami berkahwin lain andai dirinya berada di tempat wanita yang sedia berpoligami dengannya.
Nora atau nama lengkapnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 44, berkata, ajakan seorang isteri yang memberi keizinan kepada suaminya untuk berkahwin dengannya hanya dianggap sebagai gurauan.
“Sebenarnya ajakan tersebut dikirim menerusi DM (mesej langsung) yang kemudian saya kongsikan di media sosial pada waktu malam sekadar suka-suka.
“Saya cuma nak kongsikan bahawa ada isteri yang mulia di luar sana dan okey jika suami mereka bernikah sekali lagi asalkan mampu atau mungkin ada hal lain.
“Kalau saya di tempat dia, belum tentu saya relakan. Cuma, kesahihan akaun berkenaan saya tidak tahu setakat mana, mungkin wanita itu main-main sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam.
Pada masa sama, ibu tunggal kepada dua anak itu turut mendedahkan sering menerima mesej daripada individu yang mahu memperkenalkannya kepada lelaki termasuk ahli keluarga mereka.
Katanya, pelbagai cara digunakan untuk memujuknya berkenalan dengan individu berkenaan, malah ada yang bersungguh-sungguh memintanya berkawan dulu dengan abang atau saudara mereka.
“Apabila media melaporkan cerita saya, ada sahaja orang DM bagi pelbagai saranan termasuk nak kenalkan suami mereka.
“Macam-macam pesanan atau cadangan saya terima Kadang-kadang apabila bosan, saya baca sajalah. Tak ambil serius pun tapi saya hargai pelawaan mereka.
“Ada juga saya terfikir, adakah antara mereka ini jodoh saya? Kita pun tidak tahu — jodoh, ajal, maut Allah tentukan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pasangan hidup, Nora menegaskan dia tidak pernah berhenti berdoa agar dipertemukan dengan lelaki yang baik, terutama di sisi Allah SWT.
Baginya, keikhlasan dan ketentuan Tuhan lebih penting berbanding perkara lain kerana dia percaya setiap aturan-Nya mempunyai hikmah tersendiri.
“Saya memang sentiasa berdoa supaya Allah temukan saya dengan jodoh yang baik di mata-Nya. Itu paling penting.
“Tidak kisahlah siapa pun orangnya, kalau Allah kata dia yang terbaik untuk saya, saya akan terima. Takkanlah saya nak putus harapan, saya masih muda,” katanya.
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan Putra Rayqal sebelum bercerai dua tahun kemudian.
Pada 2017, dia mendirikan rumah tangga dengan Nedim Nazri tetapi perkahwinan mereka berakhir pada 19 Jun 2024. Mereka mempunyai seorang putera, Neqayl. – HIBGLAM

