PENYANYI Nubhan mendedahkan kediamannya didatangi individu dipercayai pengutip hutang yang didakwa sedang mencari bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih dikenali sebagai Dr. Fie.
Menerusi perkongsian di Instagram, Nubhan, 40, menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya keselamatan dirinya, anak-anak dan keluarga terancam.
“Memandangkan kedatangan pengutip hutang tersebut bertujuan mencari bekas isteri, saya mohon jasa baik agar anak-anak, keluarga dan diri saya tidak dilibatkan dalam isu ini.
“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang demi keselamatan anak-anak dan keluarga saya,” katanya.
Nubhan turut dipercayai membuat laporan polis berhubung kejadian itu, namun butiran lanjut termasuk tarikh laporan berkenaan dibuat tidak didedahkan.
Menurut laporan tersebut, Dr. Fie didakwa gagal dihubungi pihak pemiutang.
Dalam pada itu, pelantun lagu Ada Untukmu itu mengakui bimbang kejadian berkenaan boleh menjejaskan emosi anak-anak yang kini berada di bawah jagaannya.
“Baru-baru ini rumah saya didatangi pengutip hutang. Saya rasa amat risau atas keselamatan anak-anak, keluarga dan diri saya,” ujarnya.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie mendirikan rumah tangga pada Ogos 2015 sebelum disahkan bercerai talak dua pada 2 Disember 2025.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3. – HIBGLAM

