TIDAK pernah membayangkan bakal menerima lamaran semewah itu, personaliti sensasi Datuk Seri Vida mengakui terkejut sehingga hampir pengsan apabila kekasihnya yang juga cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menghadiahkan kejutan istimewa menerusi persembahan 1,200 dron di ruang udara Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, semalam.
Vida atau nama penuhnya Hasmiza Othman, 55, menyifatkan lamaran tersebut sebagai usaha romantis yang luar biasa yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.
“Nasib baik saya tak pengsan tadi (semalam). Sebenarnya sudah dua hari saya tak makan bersama sebab kami tak bertemu sedangkan saya sudah berada di Kuala Lumpur tapi tak jumpa.
“Saya tak sangka usaha yang dilakukan sangat luar biasa malah tertanya-tanya, adakah perkara macam ini pernah dilakukan orang lain atau tidak?
“Saya rasa ini lamaran dari langit atau lamaran di awan. Di langit ketujuh!” katanya kepada HibGlam di sini, semalam.
Dia menambah, majlis seterusnya yang bakal dirancang memerlukan persiapan yang lebih teliti kerana mahu memastikan setiap perincian setaraf dengan kejutan berskala besar tersebut.
“Tahun depanlah majlis pertunangan, bagi saya masa lebih bersedia sikit sebab ini saja (lamaran) sudah mega,” ujarnya.
Sementara itu, Fazley berkata, dia sengaja memilih cara lamaran di luar jangkaan kerana mahu mencipta kenangan istimewa bukan sahaja buat Vida, malah anak-anak mereka.
“Setahu saya, dalam kalangan selebriti dan artis tempatan, ini yang pertama.
“Jadi, saya berani melakukan sesuatu yang luar biasa kerana semua tentang DSV juga luar biasa. Disebabkan lamaran yang saya aturkan juga perlu setara,” katanya lagi.
Menurut Fazley, idea menggunakan dron turut mengambil kira pandangan anak-anak Vida yang terdiri daripada generasi Z agar mereka mempunyai kenangan indah terutama dalam menyatukan dua buah keluarga.
“Kalau kita buat lamaran biasa, mereka tidak akan ada kenangan. Saya mahu mereka mempunyai kenangan yang boleh dibawa hingga ke anak cucu.
“Jadi, apabila gabungkan apa yang saya inginkan untuk DSV dengan sesuatu yang mungkin disukai anak-anak, terhasillah idea menggunakan dron,” jelasnya.
Dia juga turut mendedahkan lamaran berkenaan membabitkan nilai keseluruhan sekitar RM500,000 hasil sokongan penaja serta beberapa pihak yang membantu menjayakan kejutan tersebut.
Dalam pada itu, Fazley menegaskan tindakannya bukan disebabkan mahu menghasilkan kandungan media sosial atau strategi pemasaran seperti yang dipersoalkan segelintir pihak.
Dia sebaliknya menegaskan semua yang dilakukan menjadi bukti kesungguhannya untuk membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius.
“Ramai bertanya sama ada kami benar-benar bercinta atau sudah berkahwin. Jadi, hari ini adalah jawapan saya kepada semua persoalan.
“Saya masih berpegang pada adat. Kami akan melalui proses merisik, bertunang dan bernikah,” jelasnya.
Mengulas perancangan seterusnya, Fazley memaklumkan mereka menyasarkan untuk mendirikan rumah tangga pada 2027, namun belum menetapkan tarikh khusus bagi majlis berkenaan.
“Kalau mengikut adat, memang ada proses merisik, kemudian bertunang dan selepas itu bernikah.
“Semua itu akan saya lalui kerana saya tidak mahu mengetepikan adat,” ujarnya lagi.
Semalam, Fazley mengejutkan negara apabila tampil membuat kejutan romantis dengan melamar usahawan sensasi, Datuk Seri Vida (DSV) secara siaran langsung di atas pentas Konsert Tiktok 11.11 Mega Syok. – HIBGLAM

