MESKI masih hijau, tuah kian menyebelahi pelakon cantik Erysha Emyra apabila namanya meniti di bibir peminat impak fenomena deretan drama lakonannya.
Hadir dengan pakej wajah jelita dan lakonan yang ‘hidup’ tentu mudah sahaja bagi pemilik nama lengkap Nur Erysha Emyra Zakaria itu mengumpul ramai peminat dalam tempoh singkat.
Satu demi satu drama lakonannya meraih pujian, gadis jelita itu bagaimanapun enggan bersandar kepada satu atau dua naskhah popular hingga dicop artis ‘mi segera’ seterusnya sirna daripada radar industri seni tanah air.
Memperbaiki segala kelemahan seiring mempertajamkan lagi bakat, pelakon berusia 24 tahun itu tidak bergoyang kaki malah terus memasang strategi dan menjadikan karier utuh dalam jangka masa panjang.
“Saya tahu bukan mudah untuk bertahan dalam industri seni ini, perlu ada usaha keras dan refleksi untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
“Sebagai pendatang baharu, sudah tentu saya cuba memberikan lakonan terbaik. Insya-Allah, saya mahu berada dalam bidang ini untuk jangka masa yang panjang, bukan sekadar sekejap timbul kemudian tenggelam selama-lamanya.
“Selain kerja keras dan pasang strategi, semuanya saya serahkan kepada Tuhan kerana saya akur bahawa pada akhirnya, semua perkara bergantung kepada nasib dan rezeki yang telah ditetapkan,” katanya kepada Pose.
Mahu tampil dengan imej positif tanpa mengguris hati mana-mana pihak, anak kepada dramatis popular Datin Seri Noniswara itu mengakui sentiasa berhati-hati dalam tutur kata dan mesra dengan semua orang sekelilingnya.
Bukan mahu diri disanjung, dia cuma enggan membuatkan orang tidak selesa sekali gus mencetuskan persepsi yang kurang elok.
“Saya bersyukur dengan tawaran lakonan yang banyak menaikkan nama saya, tetapi dalam masa sama, saya juga kena berhati-hati dalam berbicara. Bimbang tersinggung perasaan mana-mana pihak atau terlepas cakap.
“Ada dengar sebelum ini orang cakap saya tak senyum. Jadi, saya kena jaga tingkah laku depan khalayak. Saya mahu orang kenal saya dengan imej positif.
“Saya percaya dalam apa juga keadaan kena jaga adab, tak rugi pun jika kita ramah dengan semua orang,” ujarnya tersenyum.
Bercakap mengenai peminat, pelakon drama Cinta Untuk Sekali Lagi itu meluahkan rasa gembira apabila jumlah pengikutnya semakin ramai bukan sahaja di negara sendiri bahkan di Indonesia dan Thailand.
Lebih membuatkannya terharu, peminat dari negara jiran dengan sukarela menyertai kelab peminatnya iatu, Erystars.
“Ada juga peminat dari Indonesia dan Thailand mahu sertai kelab peminat dan kami banyak bersembang dalam group Telegram.
“Saya gembira kerjaya ini membuka ruang kepada orang dari dalam dan luar negara melihat potensi saya.
“Saya masih belum berpuas hati dengan mutu lakonan, jadi ini adalah proses pembelajaran. Masih banyak yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa agar saya boleh jadi pelakon yang benar-benar hebat suatu hari nanti,” ujarnya menutup bicara.-HIBGLAM