LEBIH sepuluh hari berkampung di Istana Budaya, aktor Amerul Affendi menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir menyaksikan pementasan teater muzikal lakonannya, Mansur & Liu sejak 10 September lalu.
Menurut Amerul, 39, setiap pembelian tiket dan kehadiran penonton memberi makna besar terhadap barisan pelakon yang mempersembahkan sesebuah pementasan.
“Terima kasih buat semua yang hadir ke pementasan teater muzikal Mansur & Liu.
Kehadiran kalian pembakar semangat buat diri ini terus menghiburkan penonton. Doa yang baik-baik buat semua yang hadir,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Amerul bagaimanapun berharap orang ramai tidak lagi memboikot pementasan teater hanya disebabkan perkara negatif yang pernah dilakukan oleh mana-mana individu terlibat dalam karya itu.
“Jadi, mungkin tahun ini ada bonus pementasan teater di akhir tahun nanti.
Mohon jangan diboikot lagi atas sebab dosa peribadi.
“Kita semua pendosa, bukan penghukum. Seawal belajar hukum adalah ke atas diri sendiri dahulu. Begitulah adabnya yang harus dikedepankan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia menjelaskan bonus pementasan yang dimaksudkan bukan Mansur & Liu sebaliknya teater berbeza.
“Sebelum ada yang salah faham, bonus pementasan yang dimaksudkan adalah untuk lain. Bukan teater muzikal ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Mansur & Liu arahan Datuk M. Nasir menjadi buah mulut ramai apabila mengumumkan penyanyi Aliff Aziz sebagai pemegang peranan utama iaitu Sultan Mansur Shah.
Disebabkan kisah hitam silam Aliff, ramai menyuarakan hasrat mahu memboikot teater tersebut.
Sementara itu, selepas 10 hari dipentaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Mansur & Liu sebagai antara pementasan teater terbaik pernah ditontonnya.
Ujarnya, naskhah berskala besar itu mampu berdiri setanding dengan pementasan antarabangsa, sekali gus membuktikan keupayaan penggiat seni tempatan menghasilkan karya bermutu tinggi.
Pementasan itu turut menampilkan Melinda Dadew, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad. – HIBGLAM

