SEJAK menjejakkan kaki dalam industri seni, nama Zaki Yamani pantas meniti di bibir orang ramai memandangkan dia putera kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
Namun, itu bukan laluan mudah untuk pemilik nama lengkap Ahmad Zaki Yamani Datuk Jamal Ubaidillah mengecapi populariti dalam masa singkat.
Banyak perkara perlu dikorbankan anak muda ini bagi mengejar cita-cita bergelar penyanyi setara bapanya.
Bertentangan empat mata dengan Zaki baru-baru ini, penulis nampak sisi matang jejaka berusia 20 tahun itu yang semakin serius bukan sahaja dalam bidang seni tetapi cara berinteraksi dengan pihak media.
Sempat melayangkan soalan, Zaki mengakui pengalaman lampau membentuk keperibadiannya hari ini.
“Saya membesar dalam keluarga yang tidak terlalu kaya, tidak terlalu susah. Saya hidup dengan mak selama 20 tahun.
“Jadi saya sudah dididik atau dibentuk daripada usia 13 tahun. Semakin hari saya semakin matang.
“Saya juga pernah melalui fasa selepas PKP, di mana kita sudah tiada apa-apa, jadi saya terpaksa berniaga buka kedai makan. Jual kopi, burger dan sizzling untuk dapat menampung kehidupan buat seketika,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Zaki, menyertai program realiti Famili Duo turut menjadi titik tolak permulaan Zaki menonjolkan sisi matang dalam dirinya.
“Sebenarnya saya bercita-cita menjadi jurutera tetapi banyak yang berubah.
“Kalau kalian perasan, dahulu jika menyanyi saya banyak main-main. Cara saya jawab soalan pun main-main. Saya hanya betul-betul sedar apabila masuk pertandingan Famili Duo.
“Program ini berjaya mengubah pandangan saya yang jadi penyanyi juga boleh buat duit tetapi kena serius, jaga disiplin dan sentiasa positif,” katanya lagi.
Ditanya mengapa menguburkan impian bergelar jurutera, pelantun lagu Lekas itu tanpa teragak-agak menjawab dia tidak mampu melakukan banyak perkara dalam satu masa.
“Ketika umur 16 tahun, saya sudah ada tawaran menjayakan persembahan. Jadi saya kena pilih satu.
“Kalau pilih kedua-duanya, takut satu akan terabai. Dalam masa sama saya cuba kekalkan kedua-duanya supaya selari,” ujarnya ketika majlis pelancaran lagu terbaharu berjudul Akur.
Sumbang idea
Berkongsi mengenai Akur, Zaki terlibat sama dalam penghasilan lirik khas untuk peminat setianya.
“Lagu ini sebenarnya dah hampir siap dan saya hanya sambung tambah lirik sikit-sikit saja.
“Ini adalah hadiah saya untuk mereka yang rasa kurang di mata pasangan masing-masing,” kongsinya.
Pada masa sama, adik kepada penyanyi Yamani Abdillah itu hanya mahu menumpukan perhatian mengukuhkan kerjaya sendiri sebelum berani menghasilkan karya untuk penyanyi lain.
“Sudah beberapa kali saya tulis lagu untuk diri sendiri tetapi untuk orang lain saya belum bersedia lagi. Takut lirik tidak sesuai dengan jiwa penyanyi itu.
“Saya tahu kemampuan saya, lirik itu saya tahu saya boleh bawa dan saya gubah untuk diri sendiri dahulu. Mungkin dalam lima tahun lagi saya akan buat untuk orang pula.
“Saya mahu tambah ilmu dan baiki kekurangan diri, kemudian baru bagi lagu kepada penyanyi lain,” tutupnya. – HIBGLAM

