PELAKON Rita Rudaini berkongsi rasa bangga apabila anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin berjaya memecahkan rekod acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam selepas 20 tahun.
Kongsi Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, Airit yang merupakan pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar mencatatkan rekod baharu kejohanan dengan catatan masa 11.44 saat (s).
“Tahniah pasukan. Hari pertama MSSD. Alhamdulillah rezeki Airit Rayyan dapat mewakili Majlis Sukan Sekolah (MSS).
Ryan dapat pecah rekod 20 tahun MSSD Sabak Bernam dengan rekod baharu 11.44s berbanding rekod lama 11.58s,” katanya menerusi Instagram.
Kejayaan anak pelakon Mami Jarum itu turut meraih pujian netizen yang rata-rata memuji kehebatannya bukan sahaja dalam bidang akademik, hafazan al-Quran malah bersukan.
“Masya-Allah hebat betul. Tahniah buat anaknya dan tahniah juga buat Rita yang mampu mendidik anak hingga berjaya walau bergelar ibu tunggal.
“Tahniah ini satu pencapaian yang hebat. Moga terus berjaya dan siapa tahu bakal menjadi atlet negara suatu hari nanti.
“Pencapaian yang cemerlang. Tahniah kepada pemenang semua,” antara komen pengguna media sosial Instagram.
Sebelum ini Airit Rayyan berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan gred purata nilai 3.99 pada peperiksaan semester di MRSM Sungai Besar sekali gus melayakkanya menerima Anugerah Pengetua. – HIBGLAM