Saya nak ada suami iring saya mati nanti – Ellie Suriaty

Perkahwinan tidak lagi menjadi fokus utama pelakon dan pengarah Ellie Suriaty setelah berpisah dengan bekas suami, Azri Iskandar.

Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar, 53, mengakui dia lebih selesa menjalani kehidupan sendirian tanpa kehadirian teman hidup meskipun menyimpan hasrat agar suami dapat mengiringi jenazah apabila meninggal dunia kelak.

Meskipun berasa senang menggalas tanggungjawab sebagai isteri, namun Ellie lebih memilih untuk memberi fokus kepada anak-anak dan kerjaya.

“Saya suka dengan perkahwinan, saya suka peranan sebagai isteri. Perkahwinan juga hal penting dalam kehidupan kita, tetapi saya reda dengan takdir jika begini ketentuan Tuhan buat saya.

“Saya juga jika boleh ingin ada suami yang akan mengiringi jenazah nanti. Jika tiada suami, bekas suami pun tidak mengapa.

“Saya selesa begini dengan beri tumpuan pada anak dan kerjaya. Pertamanya kita perlu self-love (sayangi diri sendiri) dahulu. Saya pula tidak keluar dan jenis yang keluar hanya untuk kerja sahaja,” katanya kepada HibGlam.

Pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu juga tidak menafikan ada rakan-rakan yang cuba untuk memperkenalkan dirinya beberapa lelaki.

Namun, bagi Ellie hal penting dalam hubungan ialah keserasian antara dua individu sebelum beralih ke fasa yang lebih serius.

Saya lebih pentingkan keserasian, jadi andai kata bila ada orang suka dengan kita, tetapi kita tidak suka dengan dia, sukar juga hubungan itu hendak menjadi.

“Lagipun, saya kini sudah menjangkau usia lebih 50 tahun, sekiranya ini (perceraian) itu berlaku ketika di usia 20-an mungkin tempoh masa itu agak panjang,” katanya.

Untuk rekod, Azri dan Ellie berkahwin pada 2003 dan bercerai pada 17 Mei 2022 selepas 19 tahun usia perkahwinan.

Pasangan tersebut dikurniakan dua anak iaitu Azrell Omar, 19 dan Nur Azreen, 14. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok