‘Dua tahun Allah pinjamkan Hiro, lebih daripada seekor kucing’

PENYANYI Aina Abdul mengundang sebak ramai apabila berkongsi berita sedih kematian seekor kucing kesayangannya, Hiro baru-baru ini.

Lebih pedih, Aina atau nama penuhnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, yang menggelar diri sebagai mama berkata, dia terpaksa melalui fasa kesedihan tersebut sepanjang tempoh membuat persediaan untuk Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang berlangsung pada minggu lalu.

“Hiro ‘baby’, peneman tidur dan duduk di sofa dan bersama menonton televisyen serta paling suka lepak di kaki.

“Sepanjang tempoh buat persediaan untuk AJL saya kehilangan kamu, jadi saya terpaksa pendam sakit dan sedih itu.

“Setiap kali saya bersendirian, air mata akan mengalir. Saya tidak pernah tahu begini rasanya kehilangan seekor kucing yang kawan-kawan lain sudah melaluinya.

“Kesakitan itu dalam diam dan saya menangis tanpa sedar namun perlu reda, sekurang-kurangnya awak tidak sakit lagi,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Dia juga berkongsi momen ketika menerima khabar duka ketika menerima panggilan pihak klinik veterinar yang memaklumkan Hiro tidak dapat diselamatkan.

“Pada hari kehilangan Hiro, saya hantarnya ke klinik veterinar sebelum doktor hubungi keesokan hari untuk mulakan prosedur.

“Saya tunggu selama dua jam yang sepatutnya bawa awak balik yang sepatutnya saya boleh saja pulang dulu tetapi hati tidak tenang.

“Namun selepas dua jam, doktor maklumkan degupan jantung awak sudah tiada, ya Allah,” jelasnya.

Tambah Aina, kematian Hiro meninggalkan impak terhadap besar dalam hidupnya kerana telah mengajar pelbagai perkara dalam hidup sepanjang tempoh dua tahun.

“Selama dua tahun Allah SWT pinjamkan awak. Awak lebih dari seekor kucing pada mata mama.

“Awak ajar mama macam mana nak berkasih sayang, jalani kehidupan dengan sabar dan tenang. Mama akan rindu masa kita bersama.

“Mama masih belajar untuk reda, maaf kalau ambil masa lama untuk faham sakit ini. Saya akan okey, awak adalah Hiro saya, sayang awak,” kongsinya lagi.

Sekitar tahun 2024, Aina pernah berkongsi dia membela dua ekor kucing yang salah seekor ialah Hiro dan dianggap seperti ‘anaknya’.

Aina juga mengakui tidak pernah memahami rasa kasih sayang terhadap kucing sebelum membuat keputusan untuk membela haiwan tersebut.

Dia juga pernah membawa kucing-kucingnya ke konsert solonya di Zepp KL dengan menggunakan kereta sorong khas untuk haiwan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok