DIRUNDUNG pilu, pelakon Nabila Huda merasai kehilangan apabila seekor burung gagak yang dinamakan Eric ketika menjalani penggambaran sebuah supertele mati.
Nabila atau nama lengkapnya Nabila Huda Suhaimi, 41, mengakui pemergian haiwan tersebut memberi kesan mendalam memandangkan dirinya mudah menyayangi setiap makhluk yang hadir dalam hidupnya.
“Dengan hati yang berat, saya sedih untuk berkongsi bahawa Eric telah mati ketika kami sedang menjalani penggambaran. Inilah masalah apabila menjadi pencinta haiwan.
“Saya tidak perlukan mereka menjadi milik saya untuk menyayangi mereka. Apabila mereka sudah mendapat tempat di hati saya, mereka akan kekal di situ,” katanya.
Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, pemergian Eric turut mengembalikan perasaan sedih yang pernah dilalui selepas kehilangan kucing kesayangannya, Aoki.
“Saya tak sangka akan begitu rapat dengan seekor burung gagak. Bila Eric pergi, perasaannya sama seperti ketika saya kehilangan Aoki.
“Rasa kehilangan itu datang semula. Kekosongan yang sama dan ia lebih menyakitkan daripada yang saya jangkakan,” ujarnya.
Nabila turut merakamkan penghargaan atas setiap kenangan yang pernah dilalui bersama Eric walaupun tempoh ‘persahabatan’ mereka terlalu singkat.
“Terima kasih untuk setiap detik, Eric. Kamu memiliki jiwa yang sangat indah dan saya bersyukur jalan hidup kita pernah bertemu walaupun sekejap,” katanya.
Mengakhiri luahannya, pelakon filem Munafik 2 itu mendoakan agar burung itu terus terbang bebas selain berharap dapat bertemu semula dengannya suatu hari nanti.
“Sekarang kamu bebas. Terbanglah setinggi yang kamu mampu. Saya akan jumpa kamu di syurga suatu hari nanti, sayang,” luahnya.
Difahamkan Eric yang masih belum boleh terbang berikutan kondisi kesihatannya dijaga sepanjang terbabit dengan penggambaran supertele itu. – HIBGLAM
