‘Kalau datang lambat, awak bukan ‘team player’ – Ellie Suriaty

“KALAU tak boleh beri komitmen dan jaga disiplin, jangan jadi artis.”

Demikian amaran pengarah dan aktres, Ellie Suriaty kepada pelakon baharu agar menjaga disiplin termasuk tidak datang lewat ke set penggambaran.

Menurut Ellie, 56, memandang ringan isu ketepatan masa dan sukar memberi komitmen terhadap jadual kerja adalah sikap tidak bertanggungjawab yang tidak sepatutnya wujud terutama sebagai anak seni.

“Pada saya, isu artis datang lambat ke set penggambaran adalah situasi yang tidak menyenangkan sebab kita bekerja dengan masa, kejar episod dan jadual.

“Kalau awak datang lambat, semua proses itu akan jadi lambat. Semua orang ada komitmen.

“Pertama, kena ada disiplin, datang tepat pada masanya dan mudahkan kerja semua pihak. Kalau datang lambat, maknanya awak bukan ‘team player'” katanya kepada HibGlam selepas sidang media Astro 30, semalam.

Tambahnya, disiplin dan kesedaran mahu memudahkan kerja pihak lain sangat penting sekiranya mahu kerjaya bertahan lama.

Ujarnya disiplin adalah perkara utama yang perlu dijaga berbanding mengejar glamor atau populariti sebagai seorang selebriti.

“Industri seni untuk orang yang bekerja keras dan ada disiplin.

Kalau dalam tempoh lima tahun pun tak boleh bertahan sebab tiada disiplin, produksi atau stesen televisyen tidak akan ambil mereka bekerja lagi.

“Bila tiada disiplin, maksudnya dia tak nak lama dalam industri dan tidak melihat bidang seni ini sebagai kerjaya,” katanya lagi.

Dia turut menegaskan, individu yang tidak boleh mengikut cara kerja produksi harus melupakan hasrat meneruskan kerjaya sebagai anak seni.

“Sesiapa yang tak boleh mengikuti cara kerja berpasukan dalam industri kreatif, mereka tidak boleh jadi pelakon.

Jadi pelakon bukan kerja syok sendiri seorang diri tetapi melibatkan banyak pihak. Kalau nak glamor, main sajalah TikTok, tak payah jadi pelakon,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ellie mengakui sangat cerewet dalam memilih pelakon untuk bekerja di bawah naskhah arahannya.

“Bila mengarah, saya sangat tegas dalam proses pemilihan pelakon dan hanya mengambil mereka yang mempunyai rekod disiplin baik, Alhamdulillah perkara itu dipersetujui stesen televisyen.

“Apa pun, kalau rasa sukar bekerja sebagai satu pasukan atau susah nak datang tepat pada waktunya, lebih baik berhenti, pilih bidang lain,” ujarnya.

Terdahulu, isu pelakon datang lewat ke set penggambaran kembali menjadi bualan hangat selepas pelakon Fasha Sandha dan penerbit, Datuk A. Aida meluahkan rasa tidak puas hati berhubung isu tersebut dalam media sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok