BARANGKALI menjadi selebriti bernama Iman Troye bukan satu hal yang mudah. Apa sahaja dilakukan, sekelip mata akan mengundang perhatian ramai.
Kisah Iman boleh dikatakan lebih banyak negatif berbanding positif. Entah di mana silapnya, namun itulah hakikatnya.
Berdepan pelbagai dugaan setelah hampir lima tahun berkelana dalam industri seni tanah air, pemilik nama penuh Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin itu mendedahkan pernah menerima ugutan, termasuk ingin mencederakan dan mengancam nyawa ibu bapanya.
Si bunga 22 tahun itu bagaimanapun memilih untuk mengabaikan ancaman tersebut kerana yakin perkara sedemikian hanya cakap kosong netizen bawah umur.
“Sbagai selebriti, buli siber adalah perkara biasa. Cuma, saya memilih untuk tidak melayan ugutan selagi mana tak jejaskan hidup.
“Lagipun, bila tengok profil netizen yang tinggalkan komen, mereka masih budak-budak. Mungkin terlepas cakap atau saja nak sakitkan hati, jadi saya lebih senang tak mengendahkan.
“Sekiranya ugutan tersebut boleh menjejaskan periuk nasi dan maruah saya, barulah saya buat laporan polis,” ujarnya kepada Pose.
Berbeza dengan segelintir artis lain, pelantun lagu Nang itu mengakui suka membaca komen netizen yang ditinggalkan dalam media sosial.
Sebagai manusia biasa kata Iman, keterbukaannya ada batasan. Dia akan apabila berhenti membaca komen andai kata-kata yang dihambur terlalu toksik dan sensitif.
“Saya suka baca komen dan mesej langsung (DM), tapi bila sudah tak boleh kawal, saya akan berhenti baca dan cari orang sekeliling.
Saya tak pernah rasa tertekan dengan kecaman dilemparkan. Sebaliknya, saya ambil komen negatif sebagai motivasi untuk perbaiki diri.
“Saya bersyukur ada yang menegur, saya tak suka bongkak, tolak tepi dan marah balik teguran netizen. Saya lebih tengok sudut positif kerana itu sebenarnya perbaiki kekurangan saya,” menoktahkan persoalan berkenaan.
Kecaman dan caci maki bukanlah perkara asing dalam hidup selebriti.
Selain Iman Troye, antara artis yang sering dihujani kata nista adalah Aina Abdul, Baby Shima, dan Fatiya Latiff.
Berkongsi sedikit mengenai perkembangan kerjaya sebelum menggulung bicara, figura kecil molek itu sedang memutuskan untuk menangguhkan pengajian buat sementara waktu bagi memberi tumpuan terhadap single terbaharu.
Iman yang juga penuntut Diploma Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu bakal muncul dengan single yang berkemungkinan diletakkan judul Kemboja selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Keputusan ini bukan dibuat sendiri, tapi saya dapat izin keluarga. Sebagai anak bongsu, tentulah saya kena dahulukan ibu bapa sebelum membuat apa-apa keputusan.
“Sebelum ini, kerjaya seni saya agak perlahan kerana sibuk belajar, jadi kali ini saya nak fokus betul-betul pada single baharu,” dedahnya.