Alahai Ameera dan Jefri, tak move on lagi ke? 

HUBUNGAN antara personaliti media sosial, Ameera Khan, dan pelakon terkenal Indonesia, Jefri Nichol, kembali menjadi perhatian selepas isu berkaitan perbelanjaan ketika mereka masih menjalin hubungan kembali diperkatakan.

Perkara itu tercetus susulan rakaman siaran langsung Ameera atau nama lengkapnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25,  yang tular dalam media sosial.

 Dalam rakaman berkenaan, adik kepada Noor Neelofa itu berkongsi mengenai pengalaman menggunakan wang serta kad kredit sendiri ketika bersama bekas teman lelakinya.

Walaupun Ameera tidak menyebut nama individu terbabit, perkongsiannya kemudian dikaitkan netizen dengan Jefri, yang pernah menjalin hubungan dengannya.

Tidak berdiam diri, Jefri kemudian tampil memberikan penjelasan menerusi beberapa hantaran dalam Threads, selain menafikan dakwaan bahawa dia meminta bekas kekasihnya membiayai perbelanjaannya.

Menurut pelakon berusia 27 tahun itu, terdapat satu situasi ketika mereka berada di Dubai yang menyaksikan dia menggunakan kad kredit Ameera terlebih dahulu.

Jefri menjelaskan, ketika itu dia mahu membeli sesuatu untuk Ameera, namun kad kredit miliknya telah mencapai had.

“Ketika berada di Dubai, saya mahu membelikan sesuatu untuk dia tetapi penggunaan kad kredit saya mempunyai had.

“Saya gunakan kad kredit dia dulu. Kemudian saya mahu membuat pemindahan wang tetapi dia menolak. Akhirnya saya gantikan dengan membelikan gelang jenama Van Cleef,” katanya. 

Dalam pada itu, Jefri menegaskan bahawa dia tidak pernah meminta bekas kekasihnya membiayai keperluannya.

Untuk pengetahuan kalian, saya tidak pernah minta apa-apa, apatah lagi meminta dibayarkan,” jelasnya.

Dia turut menjelaskan bahawa dirinya bekerja keras untuk diri sendiri dan keluarga serta sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada insan yang disayanginya.

Jefri berkata, dia memilih untuk bersuara kerana perkara tersebut sudah berkembang menjadi satu naratif yang menurutnya tidak tepat.

“Saya tidak kisah sebenarnya tetapi kerana naratifnya ke mana-mana, saya perlu bersuara,” ujarnya.

Ameera nafi terima gelang

Penjelasan mengenai gelang Van Cleef itu kemudian mendapat respons daripada Ameera.

Dalam satu ruangan komen Instagram, netizen bertanyakan sama ada gelang yang dipakai Ameera merupakan gelang yang dimaksudkan Jefri.

Hmm, saya tidak pernah dapat gelang tangan,” balasnya.

Jawapan tersebut dilihat bercanggah dengan penjelasan Jefri yang mendakwa gelang Van Cleef diberikan sebagai pengganti wang yang digunakan daripada kad kredit Ameera.

Hubungan berakhir pada 2025

Ameera dan Jefri sebelum ini pernah menjadi perhatian kerana hubungan mereka yang diketahui umum.

Kedua-duanya dikatakan mula rapat sekitar 2023 sebelum hubungan mereka berkembang menjadi percintaan pada awal 2024. Mereka juga kerap berkongsi momen bersama dalam media sosial.

Hubungan tersebut bagaimanapun dilaporkan berakhir pada November 2025 selepas mereka memadam foto bersama dan tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Kini, selepas hampir setahun hubungan mereka berakhir, isu berkaitan kewangan ketika masih bersama kembali menjadi perhatian.

Disebabkan itu juga, Jefri dikatakan memerli Ameera tidak move on dengan hubungan mereka yang sudah lama berakhir.

Perang media sosial selebriti dua negara ini juga menyaksikan peminat masing-masing turut menjadi barisan pertahanan. Ada yang mempertahankan Ameera, ada juga yang menyokong Jefri.

Namun apa yang boleh dijadikan pengajaran daripada isu ini adalah, tak perlu berlebihan menonjolkan kemesraan sewaktu dilamun cinta kerana yang terindah hanyalah sementara.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok