Noh Salleh manipulasi saya – Ibu kandung Musa

SEMUA kenyataan Noh tidak benar dan saya dimanipulasi olehnya.

Demikian kata ibu kandung Musa dikenali sebagai Athira yang mendedahkan tidak pernah memberi hak penjagaan penuh anaknya kepada penyanyi Noh Salleh seperti didakwa sebelum ini.

Menurut Athira, semua kenyataan yang dikeluarkan Noh kepada media beberapa hari lalu adalah tidak benar dan menganggap dirinya sudah dimanipulasi oleh penyanyi tersebut.

Ketika Noh minta saya menandatandangi Statutory Declaration (SD) iaitu akuan berkanun, dia mengatakan sekurang-kurangnya bila Nina ke luar negara, dia dapat menjaga Musa. Jadi saya fikir Nina sibuk dengan kerja dan izinkan dia menjaga Musa buat sementara.

“Saya tandatangani SD itu di hadapan pekerjanya sahaja. Tiada orang lain atau Pesuruhjaya Sumpah. Saya tak tahu sah atau tidak, kemudian saya diberitahu sepatutnya SD ditandatangan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, jadi dokumen tersebut tidak sah,” katanya.

Dalam pada itu, sejak awal lagi dia hanya memberi hak penjagaan penuh Musa kepada ibu angkat Musa, Mizz Nina sahaja dan bukannya Noh.

Dia juga percaya perkara ini sudah dirancang lebih awal oleh Noh bersama pengasuh Musa, bagaimanapun dia tidak tahu menahu mengenai perancangan mereka untuk mengambil kanak-kanak itu pada 19 Disember lalu.

Athira turut kesal apabila nama penuhnya tersebar selepas dia mendesak vokalis kumpulan Hujan itu memohon maaf.

“Saya tandatangani surat penyerahan itu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan Nina adalah penjaga Musa yang sah.

Kemudian sekali lagi Noh mendedahkan nama penuh saya, sedangkan dia yang merancang semua ini. Rasa geram dan merasakan seperti dipergunakan dan mangsa sekarang adalah saya.

“Dia seolah-olah berdendam dengan saya. Kalau benar-benar memohon maaf bukan itu caranya, malah sekarang rasanya dia sudah menyekat nombor telefon saya,” ujarnya lagi.

Menjawab dakwaan netizen mengenai dia dibayar oleh Mizz Nina, Athira sekali lagi menegaskan perkara itu tidak berlaku sebaliknya dia hanya mahu menegakkan kebenaran.

Saya tidak dibayar dan mahu Noh beritahu perkara sebenar mengenai semua yang dia rancang sehingga hal yang berlaku kini.

“Saya juga sudah membuat laporan polis pada Januari lalu bagi tujuan keselamatan,” katanya lagi.

Semalam, Nina turut hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bersama suaminya, Essam Muhammad dan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan serta Mahmud Abdul Jumaat bagi mengesahkan penarikan balik kes penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara Musa.

Saling berbalas kenyataan, Noh turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Mizz Nina bukanlah satu-satunya penjaga yang sah ke atas anak angkat mereka, Musa dan menyatakan dia turut menerima hak penjagaan sama daripada Athira.

Terdahulu, Mizz Nina mendakwa Noh mengambil Musa tanpa kebenaran dan pengetahuannya pada 19 Disember tahun lalu sewaktu dirinya dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dari Jepun atas urusan kerja.

Walau bagaimanapun, Noh menafikan tuduhan yang mengatakan adanya unsur penculikan selain mendakwa sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.

Noh kemudian memuat naik video di Instagram selepas dituntut oleh Athira dalam tempoh 24 jam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok