SARAT naluri keibuan, pelakon Mona Allen dengan tangan terbuka menawarkan diri untuk memelihara seorang bayi sebagai anak angkat.
Mona atau nama sebenarnya, Munna Hafiraneza Allen, 41, meminta seorang wanita yang mengakui terlanjur untuk menghubunginya bagi membincangkan hal penjagaan bayi itu.
“Saya terima. Boleh DM (mesej langsung) saya,” katanya dalam hantaran di Threads.
Isteri kepada pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim itu berkongsi respons tersebut sebagai balasan kepada luahan individu terbabit yang tidak bersedia menjaga anaknya.
“Saya sedang mengandung anak luar nikah atas kesalahan sendiri. Sekarang kandungan dah masuk lapan bulan. Saya masih belum bersedia untuk menjadi seorang ibu dan saya tahu saya tak mampu nak jaga anak ini.
“Boleh tanya macam mana nak serahkan pada rumah kebajikan atau nak cari sesiapa yang sudi untuk terima anak ni sebagai anak angkat?” tulis wanita itu di Threads.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen memuji kesanggupan Mona membantu memelihara zuriat tidak berdosa itu.
“Kalau Mona jaga, insya-Allah anak ini kehidupan dia terjamin dan (dapat) pendidikan bagus,” kata seorang pengguna akaun Threads lain.
Terdahulu, Mona berkahwin dengan Pekin pada 7 Disember 2018 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan, Petra Pekin, empat tahun. – HIBGLAM
