New Classic bagai mimpi – Dolla 

SELEPAS melakar beberapa kejayaan sejak ditubuhkan pada 2019, Dolla memperkasakan lagi kedudukan mereka dalam industri hiburan tanah air dengan memperkenalkan diskografi terbaharu, New Classic.

Mengambil masa setahun untuk disiapkan, New Classic memuatkan 7 lagu yang membuktikan mereka semakin serius dalam kerjaya nyanyian.

Bagai dikurniakan cahaya mata, semua ahli Dolla teruja memilik buah tangan sulung yang menampilkan karya pelbagai genre termasuk Dance-Pop dan R&B dalam New Classic.

Menurut Tabby, 23, sehingga sekarang dia tidak percaya Dolla mampu meluncurkan album selepas tiga tahun bersungguh-sungguh dalam membina kerjaya seni.

“Sampai sekarang saya seperti bermimpi, akhirnya kami mempunyai album sendiri. Rasa sangat gembira dan bersyukur.

“Kami juga teruja ramai tetamu hadir pada malam pelancaran demi meraikan kejayaan ini,” katanya dengan senyuman lebar.

Kali ini Dolla berpeluang bekerjasama dengan komposer dari Korea Selatan, Hyuk Shin yang menghasilkan lagu Classic dan Boss Up.

Meneruskan perbualan, pemilik nama lengkap Tabitha Ariel Lam Lianne itu berkata, pembikinan album menjadi mudah kerana dapat bekerjasama dengan ramai nama besar dalam industri dari dalam dan luar negara.

“Pada kali ini, kami bekerja dengan semua orang dari negara berbeza. Ada produser dari Korea, penari dan koreografer dari dan video muzik dirakamkan di Thailand.

“Bagi kami, memilih lagu Classic sebagai single perdana sangat senang sebenarnya.

“Apabila dengar demo, kami rasa sangat tertarik dan kagum dengan karya tersebut,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu. berkongsi pengalaman kerja dengan prosedur Korea Selatan iaitu Hyuk Shin, Sabronzo memaklumkan, dia tidak melepaskan peluang keemasan untuk mengetengahkan lagi bakat muzikal serta versatiliti setiap anggota.

“Sebenarnya komposer Hyuk Shin hasilkan dua lagu untuk kami iaitu Classic dan Boss Up.

“Proses bekerja dengannya sangat berbeza dengan produser lokal kerana lebih efisyen.

“Dia tahu visi lagu tersebut dan kami hanya serahkan kepadanya kerana tahu dia sudah bekerja dengan ramai artis sebelum ini,” tutur pemilik nama sebenar Wan Sabrina Wan Rusli itu.

 

Dolla terinspirasi dengan karya-karya muzik Latin.

Mengikuti kembara seni Dolla, setiap karya kumpulan yang mendapat jolokan puteri pop itu pasti menyelitkan perkataan Latin yang seakan sudah menjadi signatur muzik mereka.

Mengulas perkara itu, Sabronzo berkata pendekatan tersebut membolehkan mereka ‘berhubung’ dengan peminat luar.

“Kami sebenarnya banyak terinspirasi dengan muzik Latin. Orang Malaysia juga sangat menyukai genre lagu sebegini.

“Perkataan Melayu juga kedengaran enak kalau disebut dalam bahasa Latin kerana ada persamaan dari segi intonasi.

“Ini juga satu langkah baik untuk melakukan perbezaan dalam muzik kami,” ujarnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok