LEBIH tiga dekad bergelar penyanyi, nama Nourul Depp yang dahulunya dikenali sebagai Nurul Wahab masih meniti di bibir peminat.
Pernah debut dalam industri hiburan sebagai penyanyi solo, kemudian lebih dikenali sebagai penyanyi duet bersama bekas suaminya, Ajai, kini Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 49, kembali aktif sebagai penyanyi solo.
Baru sahaja mangadakan konsert solo pertamanya beberapa bulan lalu, kemunculan semula Nourul dalam persada seni tempatan kembali membuka mata ramai tentang kehebatannya sebagai seorang penyanyi.
Lagu Kerana Terluka masih menjadi siulan sehingga hari ini. Malah persembahannya dalam sebuah program televisyen menyampaikan lagu tersebut turut mendapat pujian ramai.
Melihat prestasi hebatnya yang masih mampu menyanyikan lagu-lagu lamanya dengan baik, ramai peminat yang berhasrat untuk melihat penyanyi berkulit hitam manis ini beraksi di pentas Gegar Vaganza (GV).

NOURUL akan muncul menerusi Konsert Elegant Selamanya di Zepp KL hujung minggu ini.
Sudah berbelas musim GV berlangsung, namun sehingga hari ini Nourul akui, belum terbuka hati untuk menyertai program yang disiarkan saluran Astro Ria itu.
Menurut anak jati kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu, sebenarnya dia sudah mendapat tawaran untuk menyertai GV sejak musim kedua lagi.
“Sejak musim kedua lagi pihak produksi sudah merisik saya. Baru-baru ini pun saya ada jumpa dengan pihak Astro, tetapi saya masih tetap dengan pendirian saya untuk tidak menyertai GV.
Prinsip saya, saya sudah buat album, menang beberapa anugerah, itu adalah pengiktirafan tertinggi untuk saya. Tak perlu untuk saya bertanding lagi.
“Bukannya saya tak berani. Saya berani sahaja. Tetapi saya rasa tak perlu untuk saya bertanding dengan penyanyi yang pernah menjadi penyanyi rakaman dan pernah menang anugerah,” katanya.
Namun, kata ibu kepada empat orang anak itu, dia sama sekali tidak memperlekehkan GV, sebaliknya menyifatkan pentas GV adalah medan terbaik untuk penyanyi lama kembali mendapat perhatian ramai.
Saya faham bila rakan-rakan saya sertai GV. Program ini boleh membantu untuk mereka kembali menyerlah dan menjadi tumpuan. Cuma bukan untuk saya. Saya okey kalau diundang untuk buat persembahan, tetapi bukan untuk bertanding,” jelasnya.
Biarpun kini menetap di Bali, Indonesia, namun Nourul masih aktif menerima undangan nyanyian mahupun memberi ceramah motivasi di Malaysia.

NOURUL bersama peserta dan pasukan Program Perantis Firetalk Unleash Yourself di Kuala Lumpur, baru-baru Ini.
Baru-baru ini Nourul terlibat dengan Konsert Jom Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri di Pulau Pinang.
Ditanya apakah rancangannya dalam bidang seni selepas ini, kata Nourul dia baru sahaja mendapat tawaran untuk mengadakan showcase di negeri kelahirannya, Pulau Pinang.
Sejujurnya saya memang mempunyai perancangan untuk membawa konsert Nourul : For You ke Pulau Pinang.
“Tak sangka ada pihak yang berminat untuk menganjurkan showcase saya iaitu Bertam Resort.
Showcase ini Ibarat ‘homecoming’ untuk saya memandangkan kampung saya berdekatan dengan Bertam Resort.
“Jika tiada aral melintang, showcase ini akan berlangsung pada 26 Disember 2026,” kongsinya. – HIBGLAM

