‘Terpaksa ketepikan hukum, demi gimik’

PENYANYI Hafiz Suip menjelaskan penampilannya dengan rambut berwarna hijau baru-baru ini hanya gimik untuk mempromosikan semula namanya dalam industri sebelum mengumumkan kelahiran single terbaharunya berjudul Terus Bersinar.

Hafiz atau nama lengkapnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, sewaktu ditemui HibGlam berkata, walaupun sudah 15 tahun mencanai bakat sebagap penyanyi, dia mengakui gimik memainkan peranan dalam mensensasikan semula nama anak seni dalam dunia hiburan.

“Rambut hijau baru-baru ini adalah gimik untuk menarik perhatian semua orang.

“Mahu tidak mahu, perkara seperti ini (gimik) sudah menjadi lumrah selepas mewujudan media sosial,” kata Hafiz.

Selain itu, Hafiz percaya ramai selebriti lain turut menggunakan media sosial untuk memasarkan diri agar dikenali dan kekal relevan.

PENAMPILAN Hafiz berambut hijau mengundang kritikan pelbagai pihak.

“Hari ini, ramai selebriti menggunakan platform media sosial untuk pasarkan diri. Ikutkan, boleh saja buat cara lama untuk memperkenalkan diri dan maklumkan tentang single baharu yang bakal dilancarkan.

“Namun, impaknya tidaklah sekuat mereka yang tampil dengan gimik sensasi. Saya misalnya, selepas warnakan rambut hijau tiba-tiba nama kembali menjadi perhatian dan bualan netizen.

“Walaupun ada yang kata saya sudah punya nama besar sebab pernah menang anugerah, saya tetap guna gimik untuk mempromosikan diri,” ujarnya.

Sehubungan itu, bekas juara program Akademi Fantasia ketujuh (AF7) terbabit mengakui ramai netizen mengecam tindakannya bertentangan dengan agama.

Hafiz ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Terus Bersinar, di SetiaWalk, Puchong berkata, dia sedar tentang hukum mewarnakan rambut, namun sebagai artis dia perlu memikirkan strategi untuk mempromosikan diri.

“Memang ada yang mempersoalkan tindakan saya mewarnakan rambut. Sebagai muslim saya sedar dan tahu hukumnya.

“Cuma, dalam hal ini saya berada dalam dunia hiburan. Sebagai penyanyi, saya perlu ada cara untuk meraih publisiti dan memasarkan diri.

“Sejujurnya, perasaan bersalah itu tetap ada. Tapi bila difikirkan semula apa yang saya buat ini atas tuntutan kerja, saya teruskan sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, Hafiz selepas sekian lama menyepi kembali menjadi bualan ramai apabila tiba-tiba tampil dengan imej berambut hijau dalam media sosialnya.

Selepas lima hari menimbulkan tanda tanya, penyanyi itu kemudian membotakkan kepala sebelum mengumumkan tentang single terbaharunya berjudul Terus Bersinar yang dilancarkan semalam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok