‘Tak kejar kedudukan pertama, kedua atau sebagainya’

PENYANYI Jaclyn Victor enggan memberi tekanan kepada dirinya untuk mengejar kedudukan tertinggi pada setiap konsert mingguan All Stars Gegar Vaganza (GV10).

Jaclyn, 44, juga dia tidak mahu meletakkan sebarang harapan tinggi sebaliknya hanya memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan walaupun dilanda dugaan seperti jangkitan virus pada peti suara, baru-baru ini.

“Saya tidak mengejar kedudukan pertama, kedua atau sebagainya.

“Buat masa sekarang hanya mahu fokus sepenuhnya dan berikan nyanyian yang terbaik setiap minggu sahaja,” katanya kepada HibGlam selepas konsert minggu kesembilan GV10 di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, pelantun lagu Gemilang itu juga menolak untuk membaca komen-komen yang ditulis netizen dalam media sosial bagi menjaga kesihatan mentalnya.

“Saya memang tidak baca komen sebab buat apa nak buat sakitkan otak?

“Kalau boleh tak mahu mengundang sebarang masalah pada diri sendiri dan sakit hati,” ujarnya.

Juara GV musim kesembilan itu juga berpendapat wujud segelintir netizen hari ini yang hilang sifat sopan apabila melemparkan komen dalam media sosial.

Dia juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa berpada-pada apabila menulis komen yang adakalanya boleh menggores hati mana-mana pihak.

Jadi, walaupun media sosial adalah platform utama, saya lihat ramai yang sudah mula lupa kesopanan. Asyik nak maki sahaja.

“Bukan nak menegur tetapi kena fikir juga sekiranya anak-anak mereka pula yang kena satu hari nanti. Apa yang berlaku sekarang mungkin akan berbalik pada diri sendiri satu hari nanti.

“Jadilah baik dan saling hormat-menghormati daripada asyik mengecam sahaja,” katanya lagi

Semalam, Jaclyn diumumkan sebagai peserta yang meraih markah tertinggi sekali gus melayakkan ke peringkat suku akhir minggu depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok