‘Niat awak apa? Pisahkan kami ke?’

SELEPAS digesa netizen agar membiarkan anak tunggal dijaga bekas isteri, penyampai radio Fizi Ali mendedahkan keharmonian rumah tangganya pula cuba diganggu.

Katanya, ada individu mengirim mesej langsung (DM) kepada isterinya, Siti Zulaikha semata-mata mahu memburukkan dirinya tanpa diketahui punca pihak terbabit berbuat demikian.

“Awak DM isteri saya lepas itu awak bagi kata-kata macam ini dekat dia? Ada masalah DM saya, tak perlu nak buruk-burukkan saya dekat isteri saya.

“Niat awak untuk apa ye? Pisahkan kami ke? tulisnya dalam Instagram Story.

Pemilik nama sebenar Mohd Hafizudin Alimudin, 34, itu berkongsi tangkap layar individu tersebut di Instagram, selain mendedahkan nama pemilik akaun terbabit.

TANGKAP layar mesej berbaur hasutan individu dipercayai wanita kepada Siti Zulaikha yang dikongsi Fizi Ali dalam Instagram Story.

Individu dipercayai wanita itu seakan cuba menghasut Siti Zulaikha apabila menyatakan kebaikan hanya pada awal perkahwinan dan sikap sebenar cuma terserlah selepas beberapa tahun kemudian.

Sebelum ini, Siti Zulaikha berkongsi video yang menunjukkan suaminya membantu membasuh pakaian di sebuah dobi berikutan keadaan dirinya yang kurang sihat.

Ahli perniagaan terbabit turut menzahirkan penghargaan atas sikap prihatin dan bertangunggungjawab bekas peserta program Pilih Kasih berkenaan.

Malah dalam hantaran yang dimuat naik semula personaliti radio terbabit dalam Instagram, Siti Zulaikha juga dilihat meluahkan rasa syukur dikurniakan lelaki itu sebagai teman hidup.

Terdahulu, selepas isu tidak dapat berjumpa Ameena Sofia, Fizi dijadikan sasaran segelintir netizen yang mendakwanya berlakon menjadi mangsa kemelut dengan bekas isteri yang juga pelakon, Shakilla Khoriri berkenaan puteri tunggal mereka.

Situasi berkenaan difahamkan tercetus apabila netizen tidak berpuas hati selepas dia memaklumkan akan menyerahkan isu penjagaan kepada peguam kerana tidak dapat berjumpa anaknya.

Fizi dan Shakilla yang bercerai pada Disember 2021 selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga sebelum ini mengakui mengambil giliran menjaga Ameena, 4.

Dia bertemu jodoh kali kedua dengan ibu tunggal anak satu yang juga usahawan, Siti Zulaikha pada 23 Oktober lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok