Konsert Isaac Gracie di Kuala Lumpur 25 November

PENYANYI dan komposer kelahiran United Kingdom, Isaac Gracie menjadikan Malaysia sebagai antara lokasi persinggahan siri jelajah Asia yang dijadualkan bermula akhir bulan ini.

Penghibur yang sinonim dengan gaya muzik mengasyikkan dan seleksi dendangan sarat emosi mendalam itu dijadualkan beraksi di Kuala Lumpur pada 25 November.

Isaac Gracie Asia Tour 2023 bakal mengegarkan The Bee @ Publika dengan rangkaian seleksi hits seperti Silhouettes of You, That Was Then, Last Word, Terrified, Show Me Love dan When You Go.

Sepanjang tujuh tahun dalam industri muzik, pemilik nama sebenar Isaac Joseph Gracie-Burrow, 29, itu menghasilkan satu album studio menggunakan namanya sebagai judul pada 2018 dengan lebih dulu muncul bersama album ‘live’ Songs in Black and White dua tahun sebelumnya.

Pada masa sama, Gracie yang mula menulis lagu pada usia 14 tahun turut tampil dengan album EP atau rekod vinil berjudul Songs From My Bedroom serta Close up – Looking Down yang mencuri perhatian penggemar muzik.

Pemuzik kelahiran Ealing, London yang tegar dengan genre alternative rock, indie rock, folk rock itu juga aktif menerbitkan single yang dilancarkan satu persatu sejak debut bermula pada tahun 2016.

Antaranya adalah The Death of You & Running on Empty serta The Man Who Flew Into Space.

Berdasarkan sambutan pendengar dalam siri persembahan meganya di negara lain, dijangkakan Isaac Gracie Asia Tour 2023 menjanjikan pengalaman muzik indah yang dikenang penonton.

Sebelum ke Kuala Lumpur, Gracie menghiburkan penonton di Jakarta, Indonesia pada 24 November sebelum meneruskan kembara di beberapa bandaraya di China bermula 27 November hingga 3 Disember 2023.

Istimewanya, peminat turut berpeluang mendengar single baharunya berjudul Something Inside Me selepas The Man Who Flew Into Space yang juga dilancarkan tahun ini.

Bingkisan itu dikatakan menampilkan gabungan istimewa iaitu antara lirik mendalam dengan melodi penuh perasaan yang membawa ke dalam jalur muziknya yang introspektif dan evokatif.

Tiket Isaac Gracie Asia Tour 2023 anjuran Primuse dengan kerjasama Shiraz Projects boleh didapati di laman www.myticket.asia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok