“BUKAN sakit misteri tetapi sakit yang didiagnos oleh doktor. Saya dapat tahu sebelum program GV10 bermula.”
Demikian perkongsian Azharina Azhar mengenai penyakit dihidapinya sekali gus menafikan dakwaan ada kaitan dengan penyakit misteri (sihir).
Bintang All Stars Gegar Vaganza (GV10) itu bagaimanapun memilih untuk terus mengunci mulut daripada bercerita lanjut mengenai penyakitnya kerana merasakan belum sampai masa mendedahkannya kepada umum.
Saya tidak mahu berkongsi apa-apa tentang masalah kesihatan kerana merasakan ini bukan masa yang sesuai.
“Nanti, bila sudah sampai masanya, saya akan kongsikan,” ujarnya.
Pada masa sama, Azharina mengakui mengalami penurunan berat badan mendadak berikutan hilang selera makan akibat tidak sihat.
Ujar anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu, dia kehilangan lebih lima kilogram berat badan, sehingga semua pakaian menjadi longgar dan besar.
Sebenarnya sebelum GV10 bermula lagi sehingga sekarang, berat badan saya semakin menurun. Baju saya kena ‘alter’ beberapa inci kerana besar.
“Saya kehilangan kira-kira lebih lima kilogram,” ujarnya.
Pun begitu, Azharina tetap berfikiran positif dan menganggap perkara tersebut (turun berat badan) suatu hal yang bagus.
Tapi saya anggap itu perkara yang bagus dan sentiasa berfikiran positif,” jelasnya.
Bercerita tentang persembahannya sewaktu menyampaikan lagu Ya Maulai, dendangan asal penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Azharina mengakui bimbang untuk menyanyikan lagu tersebut, sehingga membuatkan dia tidak boleh tidur malam.
“Sangat susah. Masa mula-mula dapat lagu ini (Ya Maulai) pada hari Ahad (konsert minggu ketujuh), balik rumah saya tidak boleh tidur sehingga pukul 10.30 pagi (Isnin).
“Saya dengar berkali-kali lagu tersebut dan rujuk guru vokal saya iaitu cikgu Syafi. Ada tiga key (nada) yang dia beri, semuanya saya tolak.
Kemudian saya turunkan key kepada dua oktav daripada key asal (tiga oktav). Semasa sesi latihan bersama Tok Ram (Ramli MS), dia suruh naikkan lagi satu key (key asal).
“Dia kata baru okey, suara saya tidak seperti ‘pondan’,” katanya.
Bagaimanapun, Azharina terpaksa menurunkan kembali kepada dua key kerana berdepan masalah kesihatan selepas mengalami muntah-muntah dan pening kepala sejak Jumaat lalu.
“Saya tidak sihat, ditambah dengan tidak cukup rehat. Tanpa latihan, saya nyanyi sahaja. Alhamdulillah, semuanya terkawal,” katanya.
Ketika konsert minggu kelapan GV10 kelmarin, Azharina menduduki tempat keenam dengan markah sebanyak 66.00 peratus, dengan perbezaan 1 peratus markah yang diperolehi Jaclyn Victor (67.00 peratus) di tempat kelima. – HIBGLAM