Aina Abdul ‘berhabis’ setengah juta demi baju, mikrofon

PENYANYI Aina Abdul membelanjakan RM400,000 bagi lima persalinan untuk konsert A Night With Aina Abdul 3.0 yang berlangsung di Axiata Arena, malam tadi.

Tidak terhenti di situ sahaja, tiga mikrofon yang digunakan pada malam konsert tersebut adalah miliknya sendiri dan dianggarkan berharga sekitar RM120,000.

Jelas pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu, kesediaan mengeluarkan peruntukan besar untuk baju adalah demi kesempurnaan merealisasikan persembahan mega tersebut dalam segenap aspek.

“Saya memakai lima baju secara keseluruhannya tidak termasuk helaian rona putih yang pernah saya pakai ketika Anugerah Juara Lagu ke37 (AJL37) untuk lagu Terus Hidup.

“Jujurnya nilai kesemua busana yang saya gayakan malam ini berjumlah sekitar RM400,000.

“Itu adalah kos untuk baju sahaja, tidak termasuk perbelanjaan lain melibatkan konsert,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya lebih lanjut mengenai persalinan kedua rona biru yang mempunyai elemen teknologi dan sains sehingga berjaya memaku pandangan penonton, penyanyi berusia 30 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana semuanya berjalan seperti dirancang.

Jelasnya, gaun tersebut teknologi menggunakan sistem yang dikawal rapi seorang jurutera yang berada di sisi pentas.

“Baju biru tersebut sebenarnya rekaan Zaimi Zulkafli yang menggabungkan elemen sains dan teknologi.

“Segala yang berlaku seperti keluar asap dan bunga bergerak pada baju itu sebenarnya dicipta khas oleh jurutera, ada individu yang bertanggungjawab mengawal di tepi pentas agar segala pergerakan berlaku seperti dirancang.

“Masa latihan baju tersebut gagal berfungsi, mujurlah ketika konsert semuanya berjalan lancar. Syukur dapat realisasikan impian saya memakai busana hebat sebegitu,” jelasnya pada sidang media usai konsert.

Mengulas lanjut mengenai busana tersebut, Aina mendedahkan bahawa teknologi yang digunakan pada pakaian itu sahaja menelan kos puluhan ribu ringgit.

“Segala elektronik dan coding pada baju tersebut mencecah RM35,000.

“Dalam baju itu sebenarnya ada ratusan wayar untuk menghasilkan segala yang kalian nampak,” katanya.

Malam tadi, penyanyi kelahiran Johor Bahru itu menghiburkan lebih 10,000 peminat setianya dengan deretan lagu hits termasuk dendangan daripada album terbaharunya, IMAJI.

Selepas Axiata Arena, Aina memaklumkan akan meneruskan konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Singapura pada 6 Januari tahun hadapan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok