Saya tiada hak halang dia hadir – Aliff Aziz

“Ini konsert terbuka, takkan saya nak cakap dia tak boleh datang.”

Demikian reaksi penyanyi, Aliff Aziz berikutan kehadiran aktres jelita, Sophia AlBarakbah ke konsert minggu ketiga All Stars Gegar Vaganza (GV10) malam tadi.

Tegas suami kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah itu, sebagai peserta program tersebut, dia tiada hak untuk menghalang mana-mana individu menghadiri konsert itu kerana ia terbuka kepada umum.

“Saya nampak dia (Sophia) dan mungkin datang untuk menemani sepupunya, penyanyi Aisha Retno yang membuat persembahan untuk GV Live+.

“Ini konsert terbuka yang boleh dihadiri oleh semua orang. Takkanlah saya nak cakap dia tak boleh datang, orang itu dilarang hadir.

“Mungkin dia hadir untuk berseronok menyaksikan konsert minggu ini. Saya perasan dia datang pun masa saya naik pentas dan nak mula nak menyanyi,” katanya kepada HibGlam, semalam.

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Mohammad Alif Aziz, 32 itu enggan memberi komen terlalu banyak mengenai kehadiran aktres tersebut kerana dikhuatiri boleh mencetuskan salah faham orang ramai.

“Untuk saya beri komen apakah perasaan melihat kehadirannya adalah perkara yang tidak sepatutnya dilakukan pun.

“Ini kerana sebarang jawapan yang saya beri hanya akan mengundang orang ramai membuat spekulasi mengenai perkara yang tidak sepatutnya,” ujarnya.

Bekas juara GV musim kelapan itu berkata, tugasnya hanyalah sebagai peserta yang berjuang untuk memberikan persembahan terbaik di atas pentas.

“Untuk saya, berada di atas pentas hanyalah menjalankan tanggungjawab sebagai peserta dan menyampaikan lagu tugasan dengan sebaik mungkin.

“Selebihnya, adalah di luar bidang kuasa saya untuk bercakap banyak. Persoalan siapa yang hadir, untuk apa mereka datang, itu bukan sebahagian daripada tugas seorang peserta.

“Saya tiada apa apa komen untuk perkara ini. Saya berada dalam bidang dan industri yang sama dengan dia, pusing-pusing kita akan berjumpa dengan orang yang sama juga,” katanya lagi.

Sekitar Januari lalu, nama Sophia meledak selepas Bella mendakwa pelakon itu menjadi orang ketiga yang menganggu keharmonian rumah tangganya.

Bella turut memuat naik tangkap layar memaparkan aktres itu memohon maaf dan ingin memperbetulkan keadaan berkaitan dakwaan mengganggu Aliff.

Terdahulu, Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok