‘Jangan baca komen, fokus kerja’ – Nasihat Sophia buat Siti Khadijah

“ABAIKAN saja pembenci. Lumrah kita sebagai artis, orang akan bercakap fasal kita sama ada baik atau jahat.”

Demikian pesanan pelakon Sophia Albarakbah buat sahabatnya, Siti Khadijah Halim yang sering menjadi sasaran kecaman susulan beberapa kontroversi, termasuk spekulasi mengenai keakrabannya dengan Amir Ahnaf.

Sophia, 33, menasihati Siti agar tidak terlalu memikirkan komen negatif di media sosial, sebaliknya kekal fokus terhadap kerjaya dan tidak membiarkan kecaman orang lain melemahkan semangatnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia ada juga mesej saya, sekarang dia di Jepun. Saya adalah titip pesanan agar jangan baca komen.

Sekarang ini, dia cuma perlu fokus pada kerja dia saja. Saya faham sebab saya pun pernah berada di situasi dikecam, malah selalu dikecam.

“Tapi kecaman itu yang buat saya lebih kuat. Jadi, saya percaya perkara ini juga akan buat Siti lebih kuat untuk masa depan dia,” katanya semasa majlis pelancaran drama Viu Original, Dendam Bayangan, hari ini.

Selain itu, pelakon drama From Saga With Love itu menyifatkan Siti sebagai seorang yang baik dan sering mendampinginga di kala sukar.

“Saya harap dia kuat, saya kenal Siti secara peribadi, dia seorang yang baik dan sangat ceria.

Waktu saya dalam kesusahan dan ‘down’, dia sentiasa ada untuk saya. Dia selalu bagi kata-kata semangat.

“Orang yang kenal dia akan tahu dia macam mana, fokuslah pada orang yang sayangkan kita,” jelasnya.

Dalam masa sama, Sophia meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir netizen yang seolah-olah suka menghukum tanpa memikirkan kesan emosi terhadap anak seni yang turut tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Kita artis pun manusia juga, memang melakukan kesalahan. Saya perasan ada sesetengah netizen yang memberi komen seolah-olah mereka terlalu suci.

Saya rasa netizen yang memberi komen negatif itu pun patut muhasabah diri balik, mereka sendiri pun pernah buat benda tak elok atau ada masa lampau yang tidak indah.

“Yang penting kita nak perbaiki diri. Jadi, saya harap netizen janganlah suka-suka hati mengajak orang ramai untuk memburukkan seseorang,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Siti Khadijah Halim mencuri tumpuan apabila dikaitkan dengan beberapa spekulasi membabitkan keakrabannya dengan rakan pelakon, Amir Ahnaf selain pernah didakwa sombong.

Bagaimanapun, ramai tampil mempertahankan Siti Khadijah termasuklah rakan artis yang menyifatkan pelakon itu sebagai seorang yang ceria.

Dalam perkembangan lain, Sophia membintangi drama Bayangan Dendam menerusi karakter Melissa.

Drama bersiri 12 episod ini mengisahkan persahabatan, pengkhianatan dan satu kematian mengejut membabitkan Ariana dan Farhan ditayangkan menerusi platform Viu pada Khamis dan Jumaat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok