Sazali P Ramlee terharu PM bantu kos rawatan isteri

“TERIMA Perdana Menteri kerana sudi membantu saya dan isteri.”

Demikian perkongsian rasa terharu anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali terhadap keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan membantu membiayai kos rawatan isterinya, Hamidah Hitam yang menghadapi masalah kesihatan.

Sazali berkata, keadaan kewangan yang tidak menentu selepas dia terbabit dalam kemalangan sekitar 2012 semakin kritikal apabila isterinya, Hamidah Hitam, 61, pula berdepan sakit tulang belakang dan saraf leher sehingga memerlukan pembedahan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang menghulurkan bantuan untuk membolehkan saya membawa isteri ke hospital semula pada 24 September ini bagi melihat semula keadaan penyakitnya.

“Selepas bertahun-tahun tak bekerja berikutan impak kemalangan dahulu, isteri saya yang mencari rezeki menampung keperluan kami, tetapi kebelakangan ini dia pula sakit.

“Ada saudara mara terdekat tolong, cuma hidup susah bila tiada punca pendapatan terutama untuk makan dan berulang ke hospital. Bantuan ini dapat ringankan beban,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Sebelum ini Sazali, 65, yang juga pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) mendedahkan terpaksa ikat perut selepas tidak dapat bekerja berikutan keadaan kakinya kesan daripada kemalangan.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga lebih tiga dekad lalu itu juga tidak dikurniakan cahaya mata dan hanya bergantung antara satu sama lain.

Pada masa sama, situasi bekas pekerja am Alam Flora itu bertambah sukar apabila hasil royalti karya arwah bapanya berakhir pada 29 Mei lalu selepas genap 50 tahun pemergian Seniman Agung terbabit.

Sementara itu, Anwar mewakilkan Setiausaha Politiknya, Farhan Fauzi untuk menziarahi dan menyerahkan sumbangan di kediaman Sazali di Semenyih, semalam.

Dalam hantaran di laman sosialnya, Perdana Menteri menzahirkan kesedihan melihat keadaan Sazali yang tiada lagi kudrat untuk bekerja selepas terbabit dalam kemalangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok