‘Oru Viral Puratchi di ambang sejarah’ – Anwar mahu bekerjasama dengan Vijay

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pelakon dan ahli politik terkenal India, Vijay kerana dipilih sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu.

Menerusi hantaran dalam media sosial, Anwar turut berharap dapat bekerjasama dengan pelakon yang terkenal dengan gelaran ‘Thalapathy’ itu.

“Selama bertahun-tahun, peminat-peminat yang memuja menyaksikannya mengalahkan ahli politik korup dan pelbagai penjahat dalam masa tiga jam, biasanya selepas rehat yang singkat.

“Rakyat Tamil Nadu kini telah mengamanahkan Vijay dengan tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada mana-mana peranan yang dilakukan di skrin.

‘Oru Viral Puratchi “revolusi satu jari” – kini berada di ambang mencipta sejarah,” tulisnya.

Tambah beliau lagi, Malaysia dan Tamil Nadu berkongsi hubungan sejarah, budaya dan hubungan antara rakyat yang mendalam merentasi generasi.

Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ketua Menteri Vijay pada tahun-tahun akan datang,” tulisnya.

Terdahulu Vijay mengangkat sumpah sebagai Menteri Tamil Nadu yang baharu pada Ahad di hadapan ribuan rakyat bertempat di Stadium Jawaharlal Nehru, Chennai.

Pada majlis angkat sumpah itu, dia turut ditemani kedua ibu dan bapanya serta pelakon terkenal, Trisha.

Pembabitan Vijay atau nama lengkapnya Chandrasekaran Joseph Vijay, 52, dalam dunia politik bermula pada 2024 apabila dia menubuhkan parti sendiri yang diberi nama Tamilaga Vettri Kazhagam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok