Ubah hidung? Biar netizen buat andaian – Diana Danielle

AKTRES Diana Danielle menolak untuk  memberi sebarang penjelasan terhadap dakwaan mengubah bentuk wajah khususnya pada bahagian hidung seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, juga mengakui ketidakyakinan diri adalah perkara normal malah sebagai manusia, dia turut melalui perkara sama.

“Saya memang ada ketidakyakinan terhadap bentuk fizikal sendiri dan normal untuk kita bercakap mengenainya.

“Tidak kisahlah betapa sempurna orang bercakap mengenai kita, pasti kita akan mempunyai ketidakyakinan tersebut,” katanya kepada HibGlam selepas majlis pelancaran lagu terbaharunya, hari ini.

Dalam pada itu, pelakon filem Imaginur itu memilih  untuk membiarkan orang ramai membuat andaian sendiri tanpa perlu memberi sebarang penjelasan mengenainya.

“Saya cuba atasi ketidayakinan ini cuma saya tidak perlu buat justifikasi dan jelaskan kepada orang ramai secara terperinci.

“Sekiranya nak tahu, ‘direct message’ (DM) saya. Kalau orang sedar mengenai perubahan wajah saya, hendak buat macam mana?” jelasnya.

Berkongsi mengenai single baharunya berjudul Bersama Dengan Rindu, Diana berkata lagu tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kisah hidupnya. – HIBGLAM

“Kalau orang kata jalan cerita sama dengan kisah peribadi, mungkin kebetulan sebab saya sudah rakam lagi ini setahun lalu.

“Harap Bersama Dengan Rindu mengubat kerinduan peminat ditambah pula saya sudah terlalu lama tidak muncul dengan lagu Melayu,” ujarnya.

Baru-baru ini, muncul dakwaan bahagian hidung Diana kelihatan berbeza ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi prosiding tuntutan hadanah pada 21 Ogos lalu.

Terdahulu, Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos lalu.

Farid melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof menerusi aplikasi Google Meet memandangkan dia mengalami masalah kesihatan kesan akibat jangkitan Covid-19.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora kini berusia lapan tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok