BUKAN hanya tentang destinasi, tetapi sebuah perjalanan epik menuju titik paling tinggi di dunia.
Itu yang diterjemahkan menerusi dokumentari TEKAD: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 apabila Mohd. Khafiz Bachok atau lebih dikenali sebagai Kicok dan Chew Wei Ngor atau Margaret mengharungi ekspedisi menawan Everest.
Penonton dibawa menyelami setiap detik sarat dengan adrenalin, daripada persiapan hinggalah cabaran yang menanti sepanjang pendakian.
Dokumentari arahan Ahmad Yazid itu turut mengangkat elemen pengorbanan, persahabatan dan sisi manusia apabila kedua-dua pendaki itu berdepan pelbagai situasi di luar jangkaan.
Pengalaman dan kebangkitan
Kicok dan Margaret hadir dengan latar belakang yang berbeza.
Bagi Kicok, Everest merupakan gunung berketinggian lebih 8,000 meter yang ketiga buatnya selepas menawan Manaslu dan K2.
Berbeza pula dengan Margaret, 56, yang baru mula mendaki pada usia 49 tahun. Ekspedisi ke Everest menjadi titik kebangkitan buatnya selepas kehilangan anak bongsu tiga bulan sebelum ekspedisi bermula.
Namun, di sebalik perbezaan pengalaman dan kisah peribadi, Kicok dan Margaret berkongsi misi yang sama iaitu menjejakkan kaki dan membawa nama Malaysia ke ‘bumbung dunia’.
Pengarahan
Tugas Ahmad Yazid selaku pengarah dan penerbit serta Marwan Mursyid sebagai pengarah fotografi bukan sekadar mengarah dan merakam.
Mereka berdepan cabaran persekitaran ekstrem apabila perlu berkampung di kawasan berketinggian sekitar 5,300 meter selama lebih 40 hari.

Itu yang diterjemahkan menerusi dokumentari TEKAD: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 apabila Mohd. Khafiz Bachok atau lebih dikenali sebagai Kicok dan Chew Wei Ngor atau Margaret mengharungi ekspedisi menawan Everest.
Untuk dokumentari seperti ini, pasukan produksi perlu sentiasa bersedia kerana tiada siapa tahu apa yang bakal berlaku sepanjang perjalanan.
Meski dengan keterbatasan masa dan dana, dokumentari ini masih mampu memberikan pengalaman tontonan yang berkesan.
Antara babak yang memberikan gambaran jelas tentang cabaran pendakian ialah ketika Kicok dan Margaret merentasi Khumbu Icefall, termasuk jurang ais besar atau ‘crevasse’ yang perlu dilalui menggunakan jambatan tangga.
Namun, dokumentari ini sedikit ‘terhimpit’ dengan durasi sekitar 50 minit berikutan format tayangan televisyen. Dengan skala ekspedisi dan kisah peribadi yang dibawa, ada beberapa sisi yang dirasakan boleh diteroka dengan lebih mendalam.
Puncak atau pulang
Kicok dan Margaret merupakan dua pendaki yang berbeza bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi juga mental dan teknikal. Mereka tidak mendaki bersama dan mempunyai strategi tersendiri.
Bagi mengurangkan risiko di Khumbu Icefall, kedua-duanya menjalani latihan dan aklimatisasi di gunung berhampiran sebelum memulakan pendakian ke Everest.
Kicok bersama Sherpa Saila Mingma bergerak lebih awal daripada Margaret. Namun, pendakiannya tidak mudah.
Dia terkandas di Camp 3 akibat angin kencang sebelum berdepan cabaran di Camp 4 kerana tiba lewat.
Tekad dan semangat tinggi akhirnya membawa Kicok ke puncak Everest pada 18 Mei 2026 selepas lebih 12 jam melakukan ‘summit push’.
Antara detik paling indah ialah ketika matahari terbit sewaktu Kicok berada di Hillary Step, kira-kira 200 meter dari puncak. Dalam keadaan tubuh yang sudah keletihan, dia masih sempat menunaikan solat subuh.
Margaret pula mengambil masa lebih lama untuk sampai ke Camp 4. Setelah mengambil kira tempoh berada di zon mati, dia dan Sherpa Phurba Lakpa membuat keputusan untuk berpatah balik.
Meskipun hanya Kicok berjaya menjejakkan kaki di puncak, ekspedisi ini tetap dianggap sebagai sebuah kejayaan.
Kejayaan tidak semestinya diukur pada puncak kerana apa yang lebih penting adalah untuk kembali ke pangkuan keluarga.
Ternyata, TEKAD: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 bukan sekadar kisah tentang menawan puncak tertinggi dunia.
Naskhah berkenaan sebaliknya membawa inspirasi tentang keberanian mencuba, ketahanan berdepan cabaran dan kebijaksanaan membuat keputusan apabila keadaan tidak lagi memihak.
Kerana pada akhirnya, tekad bukan sekadar tentang sejauh mana kita mampu pergi, tetapi sejauh mana kita sanggup terus melangkah.
