Dituduh ‘makan’ rakan duet, Liza Hanim pesan sudah-sudahlah

“Saya tidak tahu kenapa orang cakap saya akan tenggelamkan penyanyi duet. Perkataan ‘makan’ penyanyi duet itu agak berlebih-lebih sebenarnya.”

Demikian respons penyanyi, Liza Hanim yang terkilan apabila ada pihak cuba memburukkan namanya dengan melemparkan tuduhan dia akan ‘menenggelamkan’ mana-mana rakan duet dalam setiap persembahan.

Liza, 43, berkata, ideologi sebegitu dipercayai disebarkan oleh pakatan yang cuba menjatuhkan imejnya sebagai seorang penyanyi malah menyifatkan penggunaan ‘makan’ penyanyi duet dianggap melampau.

Jelasnya yang popular menerusi lagu Gelisah Mimpi, setiap persembahan sudah dirancang terlebih dahulu dan berbincang dengan rakan duet untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

“Tugas saya hanya menyanyi sahaja dan naik pentas cuma lontarkan semua energi dan kemampuan yang ada.

Namun, semuanya mengikut apa yang sudah dirancang. Kalau betul saya ‘makan’ rakan duet, pasti tiada sesiapa yang akan menjemput saya menyanyi lagi.

“Kemudian, setiap persembahan adalah dirancang dan jarang berlaku perkara yang muncul secara spontan,” jelasnya.

Tambah pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim itu, dia berharap yang tidak bertanggungjawab itu berhenti menyebarkan perkara tidak benar yang kadang kala menggores hatinya.

Pesanan kepada mereka yang sebarkan ideologi sebegitu, sudah-sudahlah ya. Tidak perlulah lakukan hal sebegitu.

“Kadang-kadang saya terbaca ada yang sengaja menulis perkara tersebut di mana-mana platform media sosial kemudian ramai pula yang bersetuju.

“Memang cuba elak tetapi serba sedikit memang akan terasa juga,” katanya lagi.

Difahamkan, dakwaan tersebut diperkatakan setiap kali dia akan mengadakan persembahan duet dengan mana-mana penyanyi dalam setiap acara atau pertandingan nyanyian sebelum ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok