HARI ini genaplah 66 tahun negara kita bebas daripada cengkaman penjajah.

Menerusi kemerdekaan itu kita hidup dapat dalam suasana aman makmur dan bebas mencorak masa depan tanpa perlu tunduk dengan mana-mana kuasa luar.

Sempena sambutan hari yang cukup bermakna ini, ayuh kita semarakkan semangat cintakan negara dengan menonton naskhah patriotik  terbaik yang dihasilkan pemikin filem tempatan.

Berikut tujuh filem patriotik yang boleh anda tonton seisi keluarga.

 

1. MALBATT: Misi Bakara

Malbatt: Misi Bakara menyingkap kisah benar pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) yang  sanggup bergadai nyawa menyelamatkan lebih 70 tentera Amerika Syarikat di Somalia yang terperangkap di Bakara, Mogadishu, Somalia apabila helikopter Black Hawk ditembak jatuh pada tahun 1993.

Lebih membanggakan, Malaysia satu-satunya negara yang berani menawarkan diri melaksanakan misi merbahaya itu

Sarat dengan adegan tembak menembak dan letupan, filem yang sudah pun menemui penonton sejak 24 Ogos lalu ini mendapat pujian ramai bahkan ada yang menangis menyaksikan betapa kentalnya semangat pejuang kita dalam melaksanakan misi itu.

Karya arahan Adrian Teh itu dibintangi barisan aktor terkenal tanah air iaitu Hairul Azreen, Bront Palarae, Tony Eusoff,  Shaheizy Sam, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie Alaudin, Fauzi Nawawi, Adlin Aman Ramli dan ramai lagi.

 

2. PASKAL

Pasukan Khas Laut (PASKAL) diadaptasi daripada kisah benar pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Filem arahan Adrian Teh ini menjalani penggambaran selama tiga bulan bermula Mac 2018 di Kuala Lumpur dan ditayangkan pada 27 september tahun sama.

Mendapat ulasan positif daripada pengkritik filem dan pencinta filem ketenteraan, karya hebat arahan Adrian Teh ini meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM30.08 juta.

Antara pelakon membintangi PASKAL adalah Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

 

3. 1957- Hati Malaya 

Filem 1957: Hati Malaya diterbitkan pada 2007 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-50 dengan bertemakan anak-anak muda menghayati sejarah negara dan erti kemerdekaan serta semangat nasionalisme.

Filem ini berkisarkan golongan muda tempatan yang berusahamenerbitkan sebuah buku bergambar bertajuk 1957- Hati Malaya. Ia turut menyelitkan kisah benar mengenai perjuangan untuk mencapai kebebasan.

Karya arahan Datuk Paduka shuhaimi Baba ini dibintangi Maya Karin, Rusdi Ramli, Sharifah Amani, Adlin Aman Ramlie, Che Kem, Nanu Baharudin, Douglas Lim dan Bront Palarae.

 

4. Bravo Lima

Bravo Lima merupakan sebuah filem perang yang diarahkanYeop Hitler dan dibintangi oleh Beto Kusyairy, Remy Ishak, Sofi Jikan, Sashi Tharan, Xavier Fong, Frank Peterson serta Chew Kin Wah.

Filem ini mengisahkan lima anggota Komando Tentera Darat menjalankan operasi mengekang kebangkitan pengganas komunis.

Bravo Lima didedikasikan kepada para pejuang negara yang terkorban dan  ditayangkan pada 10 September 2015.

 

5. Tanda Putera

Tanda Putera merupakan sebuah filem drama politik Malaysia yang diadaptasi daripada kisah benar memapakarkan persahabatan antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sejak tercetusnya peristiwa 13 Mei.

Filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba ini membariskan pelakon seperti Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim.

Tanda Putera memenangi tiga anugerah dalam Anugerah Skrin 2014 dan lima anugerah (termasuk Anugerah Khas Juri) daripada sebelas pencalonan dalam Festival Filem Malaysia ke-26.

 

6. Bukit Kepong

Filem Bukit Kepong diadaptasi daripada peristiwa sebenar serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 23 Februari 1950.

Dalam kejadian itu, balai polis berkenaan diserang kira-kira 180 pengganas komunis pada pukul 5 pagi.

Selain bertindak selaku sutradara, Tan Sri Jins Shamsuddin turut membintangi filem ini bersama A. Rahim, Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam, Dali Abdullah, Shamsudin Baslan dan ramai lagi.

Filem termahal era 80-an yang menelan belanja RM1.3 juta itu memenangi lapan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-3 temasuk Filem Terbaik.

 

7. Leftenan Adnan

Filem arahan Aziz M. Osman ini mengangkat perjuangan Leftenan Adnan Saidi yang bertarung nyawanya demi menyelamatkan Tanah Melayu daripada ditakluk tentera Jepun semasa Perang Dunia II.

Menerusi karya ini penonton dapat melihat babak pertempuran terakhir Rejimen Askar Melayu berdepan kemaraan tentera Jepun yang jauh lebih ramai di Bukit Chandu sehingga mengorbankan Leftenan Adnan.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem ini ialah Hairie Othman, Umie Aida, Faizal Hussein, Rusdi Ramli, Shaharuddin Thamby, Rambo Chin dan Wahid Senario. – SUMBER RELEVAN