PETALING JAYA – Penghibur, Datuk Sheila Majid menyelar sikap kurang ajar band The 1975 yang tidak menghormati budaya serta undang-undang negara disinggahi hingga mengakibatkan kerugian kepada banyak pihak akibat pembatalan Festival Good Vibes 2003.
Katanya, tindakan tersebut berpotensi menutup periuk nasi pelbagai pihak yang terbabit dalam penganjuran acara berkenaan termasuk pengelola, penghibur dan peminat.
“The 1975, ramai kehilangan pendapatan bermula daripada penganjur, promoter, kru produksi, pemuzik, penghibur dan lain-lain kerana tindakan anda yang mementingkan diri sendiri.
“Tidakkah anda tahu berapa banyak wang dibelanjakan dan berapa bulan diperlukan untuk menganjurkan acara sebesar ini apatah lagi, mereka yang membeli tiket untuk menonton band lain?
“Menjadi terkenal tidak memberi anda hak untuk berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai. Walau apa pun pendapat atau keutamaan jantina anda, kami tidak berminat untuk mengetahuinya,” tulisnya di Instagram.
Pada masa sama, penyanyi Sinaran itu berharap anggota band rock tersebut belajar menghormati budaya serta undang-undang yang mereka singgahi.
“Anda sepatutnya bermain muzik. Acara tiga hari sudah dibatalkan hanya kerana anda! Adakah anda bangga dengan diri sendiri atas perkara ini?
“Orang seperti anda yang memberikan kesan sangat buruk kepada industri muzik. Jadikan ini sebagai pengajaran kepada semua penghibur.
“Hormati undang-undang negara tempat anda beraksi. Fikir sebelum bertindak kerana ini bukan hanya mengenai diri anda,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan pembatalan serta merta penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang sepatutnya berlangsung hingga hari ini.
Ini susulan tindakan vokalis The 1975, Matty Healy berkucupan dengan pemain gitar bes, Ross MacDonalds selepas melontarkan ucapan mempertikaikan undang-undang lesbian, gay, biseksual transgender dan pelik (LGBTQ) di Malaysia.
Sambil memegang botol arak ketika membuat persembahan, Healy turut meludah dan melakukan pelbagai aksi kurang sopan yang kini turut tular di media sosial. – HIBGLAM.