IBU kepada pelakon Zahirah Macwilson, Maslinda Yusoff mendakwa hubungan dengan seorang anaknya sudah lama renggang sejak Ogos 2024.
Maslinda berkata, dia bersama suaminya sudah beberapa kali datang ke Kuala Lumpur bagi memperbaiki hubungan dengan anak mereka namun usaha tersebut tidak berhasil.
“Sebenarnya, hubungan saya dengan anak saya sudah tak rapat sejak Ogos 2024 lagi.
Dah berkali-kali saya dan suami turun ke Kuala Lumpur cuba memulihkan dan memperbaiki keadaan, secara peribadi dan melalui ustaz sebagai orang tengah, tetapi tidak diterima,” katanya dalam hantaran di Instagram.
Begitupun, Maslinda, 53, tidak menyebut nama anak yang didakwa dingin dengannya.
Katanya, dia perlu bersuara dan mendedahkan hal sebenar menerusi laman sosial selepas permata hatinya itu didakwa bersikap biadab.
“Dah lama saya berdiam diri dan bersabar, tetapi bila dia WhatsApp saya semalam dan berkata sesuatu yang sangat menyedihkan dan menyakitkan hati saya, kesabaran saya terus hilang.
Semakin saya biarkan semakin melampau dan biadab. Sebab itu saya terus berkongsi dalam media sosial.
“Saya tahu anak saya lebih takut kepada media sosial daripada kemurkaan Allah,” ujarnya.
Dalam luahan sama, Maslinda turut meluahkan kekecewaan terhadap situasi yang berlaku dan menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT.
“Semoga doa-doa kami di depan Kaabah dan di Arafah dimakbulkan.
Ya Allah, aku tidak berdaya lagi. Aku serahkan segala urusanku kepada-Mu, Ya Allah,” katanya.
Terdahulu, menerusi platform Threads, Maslinda turut mencetuskan perhatian apabila memberi bayangan dirinya dikenakan syarat tertentu untuk bertemu cucunya.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen berharap hubungan anak beranak itu kembali pulih selain meminta Maslinda terus berdoa agar semuanya kembali seperti dahulu.
“Saya faham sangat. Jangan putus berdoa. Allah tak kejam,” tulis ibu kepada pelakon Anna Jobling, Ariz Arop.
Menerusi hantaran sebelum ini, Maslinda pernah meluahkan perasaan terkilan berkenaan syarat daripada individu tertentu untuk bertemu cucunya. – HIBGLAM
