Berwajah comel, umur 21 tahun Wafiy Aan masih dianggap remaja

Wajah ‘jambu’ dan comel mungkin menjadi satu kelebihan buat penyanyi dan pelakon muda, Wafiy Aan untuk menempatkan diri dalam industri seni hiburan tempatan.

Memulakan kerjaya seninya seawal usia lima tahun menerusi rancangan Tom Tom Bak bersama pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi, nama Wafiy semakin dikenali selepas memasuki program Ceria Popstar musim pertama pada 2013 ketika berumur 11 tahun.

Seiring berjalannya waktu, Wafiy atau nama lengkapnya Mohd Wafiy Ilhan Johan semakin dewasa.Menginjak usia 21 tahun, anak kelahiran Beaufort, Sabah itu enggan lagi dilihat sebagai selebriti cilik.

Jejaka berkulit cerah itu bagaimanapun sedar, sukar untuknya mengikis tanggapan segelintir pihak, mahu pun orang dalam industri sendiri bahawa dia kini sudah menjadi lelaki dewasa.

Jika tidak, masakan sehingga kini masih ada pihak beranggapan dirinya masih kanak-kanak. Mungkin kerana berwajah ‘comel’, sukar untuk jejaka kelahiran 8 September 2002 itu menangkis persepsi tersebut.

“Sampai sekarang saya masih dibayangi dengan imej kanak-kanak. Nak kata kecewa, mungkin ada. Saya rasa ada baik dan buruknya bila seseorang itu berkecimpung dalam industri sejak kecil.

“Sukar untuk membuang ‘bayangan’ kanak-kanak, sedangkan saya semakin menginjak dewasa,” katanya.

Disebabkan ‘bayangan’ sebegitu, sukar untuknya meraih tawaran karakter dewasa. Untuk ke arah, dia juga perlu mengubah penampilan, seiring peningkatan usia.

“Untuk kikis perspektif segelintir pihak dan beritahu bahawa saya sudah dewasa memang sukar. Sebab itu saya cuba ubah penampilan diri supaya kelihatan lebih matang.

“Bagi kelihatan lebih dewasa, saya kini aktif mengunjungi gimnasium untuk membina badan supaya kelihatan lebih tegap.

“Sebagai pelakon, saya teringin untuk terbabit dalam filem aksi yang melibatkan babak pertarungan. Sebab itu juga saya kini aktif mengikuti kelas tinju dan muay Thai,” katanya.

Begitu juga dalam bidang nyanyian. Wafiy kini dalam proses memilih material untuk single terbaharu yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Daripada segi pemilihan lagu pula, anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu juga mahu memilih material yang lebih matang.

“Untuk single terbaharu saya nanti, lagu yang akan dikeluarkan akan lebih matang dan dapat diterima oleh pelbagai golongan pendengar.

“Alhamdulillah, saya juga telah diberi peluang untuk menerbitkan dan mengarah telefilem sendiri. Saya harap orang dapat mengubah pandangan mereka terhadap saya selepas ini,” katanya.

Saat dewasa menginjak tiba, hatinya ditebak sudahkah berpunya? Sambil ketawa, Wafiy mengelak bercerita lebih dan kekal dengan personalitinya yang perahsia, terutama soal cinta.

Akuinya, dia tertutup soal hubungan peribadi dan lebih selesa untuk tidak menjawab sebarang soalan berkaitan teman wanita.

“Tentang teman istimewa, saya sangat tertutup. Ada atau tiada, saya tidak akan beritahu. Saya seorang perahsia.

“Kalau orang tanya pun, saya tidak akan jawab. Mana yang tahu, tahulah. Kalau tidak tahu lagi bagus. Saya rasa hubungan saya lebih selamat kalau saya tidak beritahu kepada sesiapa,” ujarnya.

Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, Wafiy bersama lapan selebriti lain bakal muncul dalam sebuah program berjudul Real Men Malaysia: Wira Merah yang diadaptasi daripada sebuah program popular Korea Selatan.

Menerusi program tersebut, Wafiy mahu khalayak sedar tentang kemampuan melakukan aktiviti lasak, walaupun berwajah ‘jambu’.

“Saya sahut cabaran untuk sertai Real Men Malaysia: Wira Merah kerana mahu membuktikan diri telah beralih ke fasa boy (budak lelaki), men men (lelaki).

“Real Men Malaysia: Wira Merah merupakan platform sesuai untuk saya membuktikan diri bukan lagi kanak-kanak seperti yang digambarkan segelintir pihak,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok