KEHILANGAN teman hidup, Shaheizy Sam menyifatkan kakaknya, Datin Seri Zizie Izette sebagai wanita yang kuat emosi selepas kehilangan suami Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin hampir setahun lalu.
Begitupun, Sam, 44, berkata, Zizie kini tampak lebih tenang dan mampu meneruskan kehidupan, namun dia percaya kakaknya itu tetap menyimpan rahsia hati kerana enggan membuatkan keluarga bimbang.
“Dia nampak okey, memang kuat mentalnya. Saya tahu fizikalnya pun sama positif kerana tengok sekarang rajin pergi gimnasium dengan kawan-kawan.
“Tapi itulah, orang yang kuat, sekuat-kuat mana pun mental serta emosinya, apabila dia seorang kita tidak tahu situasi sebenarnya.
“Waktu itulah mungkin dia lepaskan apa yang terbuku dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan filem Chelot di Restoran Bonda, baru-baru ini.
Tambah anak bongsu daripada empat bersaudara itu, dia bersama ahli keluarga lain sentiasa memberikan sokongan kepada Zizie.
Katanya lagi, saudara terdekatnya itu juga bukan individu yang gemar berkongsi masalah atau mengadu mengenai apa yang dilaluinya kepada keluarga.
“Kalau dia duduk bersama kami, dia akan tunjuk hura-hura sahaja. Tidaklah mengadu sangat, cuma bercerita fasal anak-anak, aktiviti menyeronokkan. Itu sahaja.
“Dalam hidup dia dah melalui bermacam-macam perkara terutama kehilangan insan tersayang, namun dia nampak semakin reda,” ujarnya.
Pada masa sama, akui Sam, mereka sekeluarga turut menggalakkan Zizie kembali aktif dalam dunia perniagaan sebagai usaha mengisi masa dan meneruskan kehidupan.
Katanya, Zizie sebelum ini pernah menyimpan hasrat untuk menceburi bidang perniagaan, namun keadaan ketika itu membuatkan perancangan berkenaan terpaksa diketepikan.
“Selama ini dia mungkin nak berniaga tetapi keadaannya mungkin membuatkan dia rasa berniaga itu nanti dululah.
“Sekarang ini kami galakkan dia. Antaranya buat bisnes biskut dengan anak-anak selain produk untuk kulit. Baguslah.
“Susah juga kami nak berjumpa selalu sebab tinggal jauh. Apa pun yang penting kita sentiasa ada untuk dia,” katanya.
Sementara itu, mengulas perubahan kakaknya yang semakin aktif di media sosial termasuk berinteraksi dengan netizen menerusi Threads, Shaheizy menyifatkan perkara tersebut sebagai perkembangan positif.
Katanya, Zizie sebelum ini lebih selesa menjalani kehidupan secara tertutup selain tidak terlalu terbuka dengan orang luar.
Suami bekas aktres terbabit juga ahli politik, Bung Moktar meninggal dunia pada usia 66 tahun di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Disember.
Mengenai kutipan filem Chelot arahan Adrian Teh yang meraih kutipan RM19.5 juta, Sam berterima kasih kepada khalayak atas sokongan ramai.
Selain Sam, majlis terbabit turut dihadiri barisan tenaga belakang tabir serta pelakon termasuk Azhan Rani, Alicia Amin dan Shaza Bae.

