‘Berbaik bukan sebab dapat emas, jangan buat cerita’

BERKONGSI rezeki dengan ibu tercinta, usahawan dan pelakon Abby Abadi bersyukur apabila menerima seutas gelas emas daripada anak perempuannya yang juga pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim baru-baru ini.

Terharu dengan hadiah yang diterima, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, berkata, dia kini di dalam fasa merasai rezeki hasil kerja keras anak-anaknya.

Terima kasih adik. Tangan adik sudah penuh sebab memang magnet rezeki. Rezekinya selalu murah dan kali ini dia pula buat perkara yang sama kepada saya, terima kasih sayang.

“Muda-muda lagi adik dah lalui pelbagai pengalaman yang mematangkan diri. Belajarlah daripada pengalaman.

“Tentang api dalam sekam itu, jangan mudah percaya lagi ya,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Tambahnya, amalan memberi hadiah emas adalah perkara biasa yang sering dilakukannya sejak anak-anaknya masih kecil.

Bukan riak, Abby berkongsi mengenai perkara tersebut bagi mengelakkan sebarang dakwaan tidak benar yang sering dilemparkan segelintir pihak terhadap dirinya sebelum ini.

“Saja nak kongsi, memang sejak kecil saya suka belikan gelang dan rantai emas untuk anak-anak perempuan, semua merasa kecuali anak lelaki.

Saya tulis perkara ini sebab ada yang buat cerita kononnya berbaik hanya sebab dapat emas, tidak begitu dan jangan buat cerita sesuka hati termasuk kata saya berdrama dan burukkan anak.

“Saya tulis tentang trauma sebab sudah lama simpan. Memang sejak anak-anak masih dalam kandungan lagi, saya berjuang seorang diri,” ujarnya.

Tegasnya, perkongsian yang dimuat naik adalah ditujukan kepada individu yang sebelum ini membuatnya berdepan dengan segala ujian seorang diri.

“Ditujukan kepada mereka yang menyebabkan mama terpaksa berjuang sendirian. Takkakanlah itu pun tak faham?

Bila cerita sikit, orang kata tak habis-habis tetapi bila diam, ada pula yang pandai-pandai reka cerita.

“Ada tajuk yang api dalam sekam saya simpan lagi. Sabar sekejap,” tuturnya.

Sebelum ini, Abby menafikan dakwaan kononnya dia berselisih faham dengan Marissa, sebaliknya menjelaskan luahan yang dimuat naik sebelum ini bukan ditujukan kepada buah hatinya itu.

Terdahulu, hubungan Abby dan Marissa menjadi perhatian apabila pelakon itu tidak menghadiri majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak keduanya itu.

Bagaimanapun, Marissa menjelaskan dia sudah menghantar jemputan kepada ibunya dan berharap Abby dapat hadir meraikan hari istimewa tersebut.

Susulan isu berkenaan, media sosial dibanjiri pelbagai andaian termasuk segelintir netizen bertindak menyerang pula bekas suami Abby, Norman Hakim, serta isterinya, Memey Suhaiza.

Namun, penjelasan Abby dan pertemuan terbaharu bersama Marissa kini meredakan segala spekulasi yang berlegar sebelum ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok