‘Bukan mengongkong, kena ambil tahu pergaulan anak’

SEDAR cabaran membesarkan anak masa kini, pelakon Lisdawati mengambil pendekatan tegas dengan memantau rapi pergaulan serta penggunaan media sosial anak-anaknya.

Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 47, turut menekankan soal etika dan batas agama walaupun ketika anak-anaknya berinteraksi sesama rakan sejenis.

“Apa sahaja perkara yang membabitkan anak, saya memang akan ambil tahu dan bertanya. Contohnya, kalau saya buka akaun bank, saya perlu tahu kata laluan dan ke mana duit itu pergi.

“Walaupun tidaklah sampai terlalu memeriksa, tetapi kita perlu ambil tahu. Begitu juga dengan mesej dan pergaulan mereka.

Saya beritahu dengan siapa mereka boleh berhubung. Untuk anak perempuan, saya akan beritahu kalau buat panggilan video sesama kawan perempuan pun, kena pakai tudung juga.

“Semua kena jaga, walaupun kawan perempuan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana drama terbaharu lakonannya, Cela di TGV Suria KLCC, baru-baru ini.

Pada masa sama, isteri kepada aktor Fauzi Nawawi itu lebih selesa jika mengenali latar belakang keluarga rakan-rakan anak sebelum membenarkan mereka keluar bersosial.

“Saya memang akan tanya siapa kawan mereka. Kalau mereka mahu keluar dengan kawan, saya lebih suka jika saya kenal ibu bapa kawan berkenaan.

Saya ambil tahu semuanya. Bukan sebab mahu mementingkan diri atau mengongkong, tetapi saya mahu mereka faham kenapa ibu perlu tahu, lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang,” jelasnya.

Tambahnya, penggunaan telefon pintar boleh mendatangkan keburukan jika tidak dipantau ibu bapa secara berterusan.

“Saya juga selalu beritahu mereka, telefon ini boleh jadi ‘jahat’. Saya mahu tahu apa yang mereka tengok atau apa sahaja di telefon.

Daripada apa yang mereka tonton, kita boleh tahu sama ada mereka ditipu atau tidak.

“Sebab itu ibu perlu ada masa untuk bertanya dengan anak. Bukan sekadar percaya dan membiarkan begitu sahaja,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Lisdawati membintangi drama Cela arahan Feroz Kader yang mengangkat tema suspens psikologi dan cinta gelap, selain meneroka elemen obsesi, rahsia serta kemaafan.

Siri 12 episod itu turut dibintangi Nabila Huda dan Hun Haqeem, Zarif Ghazzi, Ellyza Azizi, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Zain Saidin.

Siri terbitan Global Film Station Sdn Bhd dan Viu Original itu mula disiarkan secara eksklusif di Viu, 20 Ogos lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok