Istimewa, konsert perayaan karya dan persahabatan – Nastia

LAMA mengatur langkah dalam dunia muzik, kumpulan alternatif rock, Nastia kembali dengan sebuah janji besar, membawa segala rasa, kenangan dan karya mereka ke pentas berprestij menerusi Nastia Project: Soul Journey.

Konsert eksklusif itu bakal berlangsung pada 16 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur, menghimpunkan karya Nastia dalam sebuah perjalanan muzik sarat emosi – daripada kisah kehidupan, harapan dan kehilangan hinggalah cinta serta persahabatan.

Malam berkenaan turut diserikan dengan kemunculan dua nama istimewa, Fynn Jamal dan Amir Jahari, sekali gus menjadikan pentas tersebut medan pertemuan tiga warna muzik dengan karakter tersendiri.

Penganjur daripada Smart Nikko, Khoo Boon Chong berkata, keputusan membawa Nastia ke pentas Zepp lahir daripada keyakinan terhadap kekuatan muzik kumpulan tersebut serta keinginan mencipta pengalaman persembahan lebih dekat dengan peminat.

Kami amat berbesar hati dapat menampilkan Nastia iaitu Leo dan Rudy, bersama dua nama tidak asing dalam industri muzik tanah air, Fynn Jamal dan Amir Jahari. Kami percaya gabungan ini mampu memberikan pengalaman berbeza kepada peminat,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Khoo, perjalanan menuju malam kemuncak masih panjang dan pihaknya berharap lebih ramai peminat mengambil peluang menyaksikan sendiri persembahan tersebut.

Kami mahu malam itu menjadi pengalaman muzik yang berbekas dalam ingatan, terutama buat mereka yang sudah lama menanti Nastia kembali dengan persembahan berskala besar,” ujarnya.

Sementara itu, vokalis Nastia, Leo Azman menyifatkan konsert berkenaan sebagai peluang untuk mereka meraikan karya sepanjang kembara hampir 11 tahun sejak persembahan solo terakhir pada 2015.

“Ini kali pertama selepas sekian lama Nastia membuat persembahan solo. Kali terakhir kami melakukannya pada 2015, ketika melancarkan album sulung, Esok Belum Tiba. Jadi, dari 2015 hingga 2026, sudah hampir 11 tahun perjalanan.

Kami sebenarnya rindu mahu buat persembahan. Selalunya apabila menyertai festival, hanya dapat menyanyikan empat ke lima lagu. Menerusi projek ini, kami mahu menghasilkan sebuah konsert berskala besar untuk meraikan karya Nastia bersama peminat,” jelasnya.

BAKAL dimeriahkan dengan kehadiran Amir Jahari (kanan) dan Fynn Jamal, konsert Nastia boleh dianggap sebagai sebuah perayaan karya dan persahabatan.

Persoalan mengenai formasi Nastia pada malam konsert turut mencuri perhatian memandangkan kumpulan tersebut sebelum ini bergerak dengan empat anggota, sedangkan Leo dan Rudy kini menjadi wakil utama di pentas.

Menjawab persoalan itu, Leo memberi bayangan kemungkinan dua anggota lain, Zach Zainal selaku pemain bass dan Jenk selaku pemain dram turut membuat kemunculan pada malam berkenaan, namun segala-galanya masih bergantung kepada kelapangan mereka.

Untuk konsert nanti, insya-Allah ada kejutan. Kami sendiri berharap Zach dan Jenk dapat menyertai persembahan, namun semuanya bergantung kepada keadaan dan kelapangan mereka.

“Zach juga ada komitmen sendiri sebagai pemain muzik, manakala Jenk aktif dengan kerjaya lain. Jadi, kita tengok bagaimana keadaan mereka nanti. Apa pun, kami sudah mempunyai barisan pemuzik lain sekiranya mereka tidak dapat bersama,” ungkapnya.

Mengulas mengenai susunan persembahan, kongsi Leo peminat bakal dibawa menyelusuri karya Nastia dalam tempoh sekitar dua jam, dengan jumlah keseluruhan hampir 24 lagu termasuk kolaborasi bersama artis jemputan.

Kami memilih Amir kerana hubungan kami memang rapat. Begitu juga Fynn, banyak karyanya sebelum ini turut melalui proses rakaman di studio bersama kami. Jadi, konsert ini boleh dianggap sebagai sebuah perayaan karya dan persahabatan,” kongsinya.

Bagi Rudy Iskandar pula, konsert itu seolah-olah membuka lembaran baharu buat mereka selepas melalui perjalanan panjang dalam dunia muzik.

“Kami ibarat lahir semula selepas melalui perjalanan lebih 15 tahun. Saya mengharapkan sebuah persembahan baharu daripada Nastia. Kami akan memberikan segala usaha dan melakukan yang terbaik untuk konsert ini, insya-Allah,” tuturnya.

Paling penting katanya, persiapan kini giat dilakukan terutama membabitkan susunan muzik, perjalanan persembahan serta perancangan kejutan buat penonton.

Kami sedang menyiapkan beberapa kejutan. Banyak perkara masih dalam proses perancangan dan tumpuan kami sekarang adalah memastikan susunan persembahan benar-benar mantap,” tutupnya.

Pentas tersebut dijangka menghidupkan semula karya popular kumpulan itu, sekali gus memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu pernah menjadi teman pendengar sejak awal kemunculan mereka.

Tiket boleh didapati menerusi platform rasmi Ticket2U, manakala peminat disaran mendapatkan tiket lebih awal berikutan kapasiti tempat duduk terhad. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok