BAGI sesetengah lelaki, alam perkahwinan mungkin sekadar menukar status di atas kertas, namun buat pelakon Aiman Hakim Ridza, peralihan itu membuka lembaran baharu dalam hidup.
Daripada masa lapang tanpa arah kepada rutin lebih teratur, Aiman kini selesa menumpukan perhatian kepada keluarga, terutama isteri dan dua cahaya matanya.

ZAHIRAH menjadi nadi kekuatan dan pembakar semangat Aiman untuk terus berjaya bukan sahaja dalam karier tetapi juga sebagai suami serta bapa kepada anak-anak mereka.
Menurut pemilik nama sebenar Aiman Hakim Ridza Abdoh itu, usia dan pengalaman hidup sedikit demi sedikit mengajar erti matang, sabar serta tanggungjawab.
“Selepas berkahwin, kehidupan memang berbeza kerana keutamaan saya kini tertumpu kepada keluarga. Manusia sentiasa berubah mengikut fasa kehidupan. Apabila sudah berkeluarga, ada perubahan perlu dilakukan untuk menjadi insan lebih baik.
Bagi saya, memiliki keluarga menjadikan diri lebih sempurna. Apabila ada keluarga, kita bukan hanya perlu berubah untuk diri sendiri, malah perlu mendidik anak-anak serta memikul tanggungjawab lebih besar,” katanya kepada HibGlam.
Tambah bintang drama Bad Cop itu, dia mungkin sedikit konservatif dalam soal keluarga, namun melihat pegangan tersebut sebagai asas penting dalam mendepani cabaran dunia moden, khususnya pengaruh media sosial.
“Saya mungkin sedikit konservatif, tetapi saya percaya pegangan itu mampu menjadi asas kukuh dalam kehidupan. Dalam dunia moden, terutama dengan tekanan media sosial dan pelbagai pengaruh luar, kita perlu ada asas kuat.
Konservatif bukan bermaksud mahu menutup diri daripada dunia. Sebaliknya, kita perlu mempunyai asas kukuh supaya tidak mudah terpengaruh dengan apa sahaja berlaku di sekeliling,” ujarnya.
Paling penting kata suami kepada pelakon Zahirah MacWilson itu, pengalaman menjalani kehidupan sebagai lelaki bujang sebelum berkahwin membuatkan dirinya lebih menghargai perubahan selepas berkeluarga.
“Bila sudah berkahwin, banyak perkara berubah dari segi pemikiran, kesabaran, keikhlasan dan cara kita melihat kehidupan. Saya sudah melalui fasa bujang dan sekarang saya dapat melihat sendiri kelebihan berkeluarga.
“Bagi saya, mempunyai keluarga serta menjadi seorang lelaki dalam sebuah keluarga adalah proses semula jadi untuk berubah ke arah lebih baik. Perkahwinan juga memberi banyak pelajaran hidup.
Bagi saya, paling penting keluarga perlu didahulukan kerana mereka menjadi satu-satunya pemangkin semangat saya untuk terus berjaya dan meneruskan kehidupan,” jelasnya.
Beralih perkembangan lain, Aiman kini dalam proses persiapan untuk masuk ke set penggambaran drama slot Akasia berjudul Sumpah Ayahku.
Selain Aiman, drama tersebut turut dibintangi Faizal Hussein, Intan Ladyana, Shahz Jazle dan Zahirah MacWilson. – HIBGLAM
