Acara lelongan barangan Che Ta ditunda

ACARA lelongan awam barangan milik pelakon sensasi Rozita Che Wan yang sepatutnya diadakan pada esok ditunda ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kemudian.

Menurut wakil peguam pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang enggan dikenali, tindakan tersebut diambil susulan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membenarkan permohonan Rozita selaku defendan menangguhkan proses tersebut.

Assalamualaikum, mahkamah sudah menangguhkan tarikh lelongan awam pada hari esok.

“Tarikh lanjut akan ditetapkan pada masa akan datang dan bergantung atas arahan mahkamah,” katanya kepada HibGlam.

Difahamkan, sepatutnya esok akan berlangsungnya acara lelongan barang milik Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 51, membabitkan 34 barangan bernilai RM902,012.46.

Antara barangan Che Ta yang bakal dilelong adalah sebuah kereta SUV jenama Haval serta beberapa barangan elektronik seperti peti ais, pendingin hawa, ketuhar, gelombang mikro, mesin basuh, mesin pengering, vakum dan televisyen.

Bahkan, terdapat juga perabot dan beberapa peralatan lain yang bakal dilelong kepada orang awam.

Pada 10 Disember lalu, kediaman usahawan terbabit dilaporkan diserbu pegawai Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.

Difahamkan, Che Ta membuat pinjaman dengan agensi berkenaan pada 2017, namun didakwa tidak pernah membayar pembiayaan berkenaan.

Selepas itu, bahagian undang-undang Mara dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.

Dikatakan, pinjaman Mara berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd dengan Rozita dan anak lelakinya itu sebagai penjamin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok