PELAKON yang pernah popular dengan drama Impian Illyana, Lydia Ibtisam dikhabarkan kini dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital.
Khabar duka itu dikongsikan sahabat Lydia iaitu pelakon dan penyanyi, Elliza Razak dalam Instagram.
Dengan berat hari saya ingin memberitahu semua tentang keadaan sahabat baik saya Lydia Ibtisam. Sekarang beliau dalam keadaan sangat kritikal di hospital.
“Mohon semua bantu tadah tangan doakan dia diberi keajaiban untuk sihat semula. Kalau boleh mohon semua boleh buat solat hajat untuk dia sembuh semula seperti sediakala,” tulisnya.
Elliza turut meluahkan rasa sedih melihat keadaan sahabat baiknya yang terlantar sakit.
Ya Allah Lydia, aku tak boleh tengok hang dalam keadaan lemah macam ni. Hang kuat Lydia. Aku sayang hang sangat-sangat. Moga Allah permudahkan urusan hang. Moga keajaiban terjadi nanti,” tulisnya.
Walaubagaimanapun Elliza tidak berkongsi butiran lanjut tentang sakit yang dialami Lydia.
Sebelum ini adik Lydia iaitu Nabil Abdul yang juga merupakan seorang pelakon meninggal dunia pada tahun 2014 akibat kanser limfa.
Lydia atau nama lengkapnya Nur Lydia Ibtisam Abdul Wahab, 45, pernah mencipta populariti menerusi drama bersiri Impian Illyana dan Dunia Anita sekitar 20 tahun lalu. – HIBGLAM
