BUKAN jenis gemar mencampuri urusan rumah tangga anak, pelakon dan usahawan Rozita Che Wan mengakui lebih selesa menjadi ibu mentua santai dengan memberi ruang kepada pasangan pengantin baharu menikmati fasa perkahwinan mereka.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 53, berkata, dia tidak pernah meletakkan pelbagai syarat kepada anak lelaki sulungnya, Ammar Effendy dan menantu, Auni Yasmin setiap kali pulang ke rumah.
“Saya mak mentua dari syurga. Saya jenis yang okey sahaja. Sepanjang mereka berkahwin, baru hujung minggu ini mereka balik rumah saya. Kebetulan pula saya tiada di rumah, Ammar pun sibuk dengan kejohanan golf.
“Saya jadi mak mentua yang santai sebab bekas mak mentua saya dahulu pun sangat santai. Dia ada pembantu rumah, kita nak basuh pinggan pun dia kata tak mengapa, biar pembantu uruskan,” katanya kepada HibGlam.
Tambah bintang filem Mat Kola itu, dia lebih mengutamakan keselesaan anak serta menantu berbanding menetapkan pelbagai peraturan apabila mereka berkunjung ke kediamannya.
Kalau cuti, nak bangun lambat, bangunlah. Tiada apa pun hendak dibuat di rumah saya. Bukan nak kena cuci kolam pun.
“Saya cuma cakap buat apa yang menggembirakan diri sendiri. Kalau suami tiada di rumah, nak memasak atau tidak, nak tidur sampai lewat pun tiada masalah,” ujarnya.
Paling penting kata isteri kepada pelakon Zain Saidin itu, dia lebih banyak menasihati Ammar berbanding menantu kerana percaya seorang suami memainkan peranan penting dalam mencorakkan kebahagiaan sesebuah rumah tangga.
“Saya perempuan, jadi saya tahu apa wanita mahukan dalam rumah tangga.
Saya selalu pesan kepada Ammar, kalau perangai macam ‘makhluk hampas’, macam mana nak dapat isteri syurga? Awak kena beri layanan seperti syurga, barulah dapat pasangan seperti syurga.
“Alhamdulillah, Auni budak baik. Setakat yang saya tahu, mereka pun solat subuh berjemaah,” kongsinya.
Pun begitu, ibu tiga cahaya mata itu mengakui masih menyesuaikan diri selepas anak lelakinya mendirikan rumah tangga sehingga kadangkala berasa sayu melihat bilik Ammar kosong.
Tapi bila mereka sudah berkahwin, setiap malam rasa macam nak menangis tengok bilik Ammar kosong. Rasalah kesunyian itu.
“Tipulah kalau tak terasa sebab dia pula dah 30 tahun dia tinggal bersama saya,” luahnya.
Terdahulu, Ammar dan Auni mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober tahun lalu dan bergelar suami isteri pada 26 Jun lalu. – HIBGLAM
