ISTERI usahawan sensasi Datuk Red iaitu Rohanita mendedahkan suaminya tidak pernah berhenti berusaha untuk melunaskan segala hutang tertunggak dengan beberapa pihak sebelum ini.
Menurut Rohanita, 35, Red atau Adnan Abu, 47, sentiasa sedar dengan setiap kegagalan hidupnya termasuk kebencian khalayak dan keruntuhan dua perkahwinan terdahulu.
“Dia tahu dia seorang muflis, bapa yang gagal, banyak hutang dan ramai membencinya.
Dia cakap dengan saya malu nak kahwin tetapi saya nampak usaha dia.
“Saya tidak beri dia duit dan setiap hari akan cakap ‘abang nak bayar hutang'” katanya dalam sebuah hantaran TikTok.
Katanya, dia percaya Red akan membayar semua hutang namun semangat dan sokongan daripada orang sekeliling adalah perkara yang paling diperlukan ketika ini.
Kalian, masa dia sudah tak lama dan tahu setiap hutang kena bayar. Setiap hari, pagi hingga ke malam dia berniaga.
“Rindu anak-anak ditahannya. Berilah dia masa, saya yakin dia mampu akan lunaskan
“Dia hanya perlukan kekuatan dan semangat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rohanita berharap Red sentiasa tabah dan akan terus memberi semangat untuk terus berjuang menyelesaikan segala masalah.
“Abang, sayang berdoa agar abang sihat dan selesaikan tanggungjawab.
“Saya ada di belakang abang dan tak pergi'” ujarnya.
Terdahulu, Red sah bernikah dengan pilihan hatinya, seorang usahawan wanita berusia 35 tahun bernama Rohanita di sebuah masjid di ibu negara pada 3 Julai 2026.
Pasangan itu sepakat bernikah secara tertutup dengan mas kahwin sebanyak RM300 tanpa sebarang hantaran.
Sebelum ini, Red yang juga bekas suami penyanyi, Adira pada 26 Mac 2024 mendedahkan dia diisytihar muflis sejak 2019 dan sudah tidak bekerja beberapa tahun sebelum itu.
Rentetan itu, kehidupannya menjadi sukar sehingga terpaksa menyewa bilik dan bermalam di dalam kereta selain menjalankan pelbagai bisnes online bagi melunaskan hutang. – HIBGLAM
