‘Tak pernah kongsi dengan sesiapa, tahun 2015 saya sah bipolar’

JUARA Akademi Fantasia musim 1 (AF1), Vince Chong mendedahkan disahkan menghidap gangguan bipolar tahap 2, yang hanya disedari selepas seorang ahli keluarga menonton dokumentari mengenai penyanyi, Britney Spears sekitar 10 tahun lalu.

Vince atau nama lengkapnya Vincent Chong, 49, berkata, paparan berkenaan menunjukkan dia juga mempunyai simptom sama dengan emosi turun naik, sekali gus mendorongnya untuk berjumpa pakar psikiatri.

“Ini perkara yang sangat peribadi. Saya tak pernah kongsikan dengan sesiapa pun. Pada 2015, kakak saya menonton program mengenai bipolar dan dia kata, ‘Eh, ini macam Vincent’.

“Selepas berbincang, mereka mencadangkan saya berjumpa pakar. Apabila diperiksa, doktor mengesahkan saya menghidap bipolar jenis 2,” katanya dalam sesi audio siar dengan pengacara, Datuk Aznil Nawawi.

Akui Vince, gangguan tersebut mengakibatkan emosinya mudah berubah secara mendadak iaitu daripada terlalu bersemangat kepada murung berpanjangan sehingga hilang keyakinan diri.

“Bila saya ‘down’, saya boleh berbulan-bulan rasa diri tak cukup bagus. Saya tak mahu pergi persembahan, enggan jumpa orang dan hanya duduk dalam bilik.

“Pihak syarikat pun ada banyak kali telefon ajak buat program, saya beri alasan tak lapang sebab saya tak selesa berdepan orang,” ujarnya.

Tambah penyanyi berdarah campuran Tionghua dan England itu, pada awalnya dia menafikan keadaan dialami, namun akhirnya menerima hakikat selepas didiagnosis dan menjalani rawatan menggunakan ubat bagi menstabilkan emosi.

“Saya sedar perkara pertama untuk mendapatkan bantuan adalah mengaku kita ada masalah. Kalau kita rasa tiada masalah, itulah masalahnya.

“Ubat membantu mengimbangkan cara saya berfikir. Kalau sedih pun, ada sebabnya, bukan sedih berpanjangan tanpa motivasi untuk bangkit semula,” katanya.

Berkongsi lanjut, Vince mengakui pengalaman dibuli, kurang matang serta membandingkan diri dengan kejayaan orang lain antara faktor yang mencetuskan episod kemurungan dan berasakan dirinya tidak berguna.

Dia turut mengingatkan orang ramai agar jangan memandang ringan simptom bipolar kerana jika dibiarkan tanpa rawatan boleh mencetuskan kesan lebih serius termasuk kecenderungan membunuh diri.

“Ada orang sampai bunuh diri. Ada yang dengar suara-suara negatif. Sebelum terlambat, carilah bantuan profesional. Jangan cari jalan salah seperti mengambil dadah kerana itu hanya memburukkan keadaan,” katanya.

Pada masa sama, Vince menzahirkan penghargaan kepada isterinya, Fiona yang paling banyak membantu melalui fasa sukar.

“Isteri saya tahu saya ada masalah ini, tetapi dia tetap terima dan menyayangi saya. Banyak kali dia bersabar dengan mood saya yang turun naik. Dia wira saya.

“Mungkin saya tidak sepopular dahulu, tetapi saya percaya saya adalah insan yang jauh lebih baik sekarang,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok