TAHUN ini nama Imranul Effendy meledak selepas menjadi penari dalam video muzik Jodoh Lebaran nyanyian Aisha Retno.
Ramai tertawan melihat lenggokan tarian Imranul yang membawa tuah buat dirinya.
Kini, dia beralih ke industri lakonan menerusi beberapa naskhah bagi mengembangkan lagi bakat.
Melangkah masuk ke dunia glamor bermakna diri perlu sedia berdepan kritikan dan kecaman.
Jejaka berusia 28 tahun itu mengakui terkesan apabila bakat tarinya diperlekehkan dengan kata-kata kesat segelintir pihak.
“Tipulah tak ‘down’, saya pun manusia. Tapi saya tak terbawa-bawa perasaan.
Saya tanam dalam diri, saya boleh buat. Syukur, Allah bagi saya kekuatan dan dapat berdepan situasi ini dengan baik,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas lanjut kritikan yang diterima, Imranul berkata, adakalanya agak keterlaluan apatah lagi dia sudah menghabiskan masa bertahun-tahun mendalami seni tari.
“Dalam lakonan saya belum dapat komen kasar tapi semasa menari atau buat kandungan orang cakap macam sotong.
Penat saya belajar tujuh tahun, mereka cakap macam sotong, terencat akal dan sawan.
“Tapi bila fikir balik, saya dah belajar dan buat yang terbaik. Bila orang komen begitu, kenapa saya nak fikir fasal dia?” ujarnya.
Bagi mengelakkan emosinya terganggu, pempengaruh itu memilih untuk tidak melayan komen toksik dalam media sosial sebaliknya fokus menjaga kualiti kerja.
Kecaman ini saya let go (abaikan) saja sebab esok mereka akan komen lagi. Kalau dilayan, hanya akan merosakkan emosi dan mengganggu persembahan saya.
“Saya akan lihat semua itu secara positif. Dalam industri ini memang kena ada fizikal dan mental yang sentiasa bersedia.
“Jadi, sebelum masuk dalam industri hiburan, saya pasak dalam fikiran kena kuat,” jelasnya.
Aktif berlakon
Beralih ke fasa baharu sebagai seorang pelakon, Imranul sedar banyak perkara perlu dipelajarinya demi memberikan persembahan terbaik dalam setiap karya yang dibintangi sekali gus meninggalkan impak besar dalam profil kariernya.
“Sebelum ini saya aktif menari, sekarang berlakon pula. Saya kena menambah baik cara bercakap, postur badan dan gaya gerak dalam kamera.
“Benda itu semua baru untuk saya tapi alhamdulillah daripada set ke set saya akan belajar dan perbaiki persembahan dari semasa ke semasa.
Ada baca kecaman dalam media sosial terutama lakonan saya dalam drama Luka Di Hujung Setia. Tapi saya ambil kata-kata itu sebagai pembakar semangat.
“Mata orang berbeza-beza. Saya ambil sebagai rujukan untuk buat lebih baik bagi projek seterusnya,” ujarnya lagi.
Ditanya adakah dia menonton kembali lakonannya, Imranul mengakui melakukan perkara itu demi memperbaiki skil lakonannya.
“Wajib tengok lakonan sendiri sebab saya nak tahu apa yang kurang. Kalau tak tonton, macam mana nak tambah baik?
Mungkin cara setiap pelakon berbeza, kalau tanya saya, memang saya tengok balik setiap lakonan saya.
“Sebelum ini ketika aktif buat konten media sosial pun saya tengok balik apa yang perlu diperbaiki. Jadi, saya terapkan benda sama juga dalam lakonan,” tuturnya.
Bercerita mengenai penglibatannya dalam drama vertikal berjudul BRU: Masin & Manis, Imranul berkata, watak Mohsin menuntutnya bermain dengan emosi berat.
“Cabarannya, saya kena jadi individu yang ada anxiety sedangkan dalam kehidupan sebenar tak pernah ada masalah itu. Jadi saya kena kaji macam mana anxiety boleh trigger.
“Saya terpaksa tanya kawan-kawan yang pernah berdepan anxiety, kongsi mereka apabila serangan itu datang akan rasa menggeletar, tak duduk diam, mata melilau dan berfikir secara berlebihan.
“Benda itu saya cuba tarapkan dalam lakonan saya,” tutupnya.
BRU: Masin & Manis diterbitkan dalam format drama vertikal sebanyak 45 episod berdurasi dua hingga tiga minit setiap episod dan mula menemui penonton semalam (22 Julai). – HIBGLAM
