“SAYA tidak ada komen sebab dengar ura-ura pun individu berkenaan tidak menyebut nama saya.”
Demikian respons penyanyi Aisha Retno yang enggan ambil pusing hantaran Yuka Kharisma yang mendakwa dirinya culas melunaskan hutang.
Menyifatkan hantaran tersebut sebagai luahan peribadi, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam, 26, memilih untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perkembangan karier seninya sahaja.
“Dia tidak salah, dia hanya mahu luahkan apa yang terpendam. Jadi, saya tidak ada komen berkenaan perkara itu lah.
Benda ini sudah lama, saya hanya mahu fokus kepada diri sendiri sahaja dan benda-benda seperti ini, mahkamah adalah jawapan yang terakhir kalau masih berpanjangan.
“Kalau nak menyalak, silakan. Tidak mengapa, yang penting dia tidak menyebut nama saya,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada sidang media Latihan Pesta Pora di Royal Selangor Club Bukit Kiara, semalam.
Disoal sama ada dia mempunyai perancangan untuk mengadakan sesi perbincangan secara empat mata bagi menyelesaikan kemelut tersebut, pelantun lagu Sutera itu menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak yang sepatutnya.
“Lagi sekali, saya tidak ada komen sebab semua ini di alam maya. Kita tidak pernah ada apa-apa perjumpaan ke apa.
Jadi, saya tidak tahu nak respon macam mana. Biarkan pihak yang lebih arif untuk selesaikan masalah ini.
“Saya hanya akan teruskan kehidupan sahaja. Banyak lagi benda yang kena fokus iaitu Anugerah Juara Lagu, Puteri Gunung Ledang, Pesta Pora dan saya juga rancang untuk keluarkan album,” ujarnya.
Meskipun terpaksa mendepani ujian yang agak pahit ketika namanya meniti puncak populariti, Aisha tetap memanjatkan rasa syukur dan menyifatkan dugaan tersebut sebagai satu proses mematangkan diri.
“Saya anggap seperti jentikan daripada Allah sebab Allah itu adil.
Kadang-kadang Allah nak bagi rezeki, selepas itu tiba-tiba Allah jentik sikit nak tengok macam mana kita respon.
“Ini adalah secara umum, apabila kita sudah di atas, kita jangan berada dalam zon selesa.
“Kadang-kadang rezeki juga membawa kepada bala ataupun cabaran. Jadi, kena sentiasa bersyukur dan bersedia,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, Yuka ada membuat beberapa hantaran dalam Threads meminta seorang individu membayar hutang yang tertangguh.
Menerusi beberapa komen, netizen memetik nama Aisha memandangkan mereka pernah mempunyai kolaborasi sebelum ini.
Terdahulu, Yuka menuntut Aisha membayar semula wang sebanyak RM83,000 yang dipinjamkan bagi merealisasikan persembahan ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) pada Mac 2024.
Katanya, konsert yang dibatalkan pada 16 November 2024 sepatutnya menjadi kaedah pembayaran semula jumlah dipinjamkan kepada wanita itu.
Namun, berikutan penjualan tiket yang tidak memberangsangkan, Yuka berharap pihak Aisha dapat melunaskan baki pembayaran tunggakan sebanyak RM77,000 selepas membuat pembayaran RM6,000. – HIBGLAM
