SENTIASA bersedia mengenakan sarung tangan sekiranya perlu bersalaman dengan individu bukan mahram terutama penganjur atau tetamu dari luar negara, penyanyi Wany Hasrita mengakui langkah tersebut diambil sebagai ikhtiar menjaga batas pergaulan tanpa menyinggung perasaan orang lain.
Ujar Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 33, setiap individu mempunyai pendirian tersendiri, namun baginya, situasi melibatkan budaya masyarakat luar memerlukan kebijaksanaan agar kedua-dua pihak saling menghormati.
“Sebenarnya serba salah saya nak ulas mengenai hal ini. Bagi saya, masing-masing ada pilihan dan pendirian sendiri.
Sejujurnya saya faham, ada keadaan agak sukar untuk dielakkan terutama apabila mereka menghulurkan tangan sebagai tanda hormat,” katanya kepada HibGlam.
Menjadi duta rasmi jenama mi segera Korea Selatan, pelantun lagu Menahan Rindu itu berkongsi pengalaman berurusan dengan wakil syarikat dari Korea yang memahami pendiriannya untuk tidak bersalaman tanpa sebab munasabah.
Contohnya hari ini (semalam) saya terpaksa beritahu pihak atasan dari Korea bahawa saya sedang berwuduk. Alhamdulillah, mereka sangat memahami selepas dijelaskan, mengapa.
“Mereka sangat menghormati penjelasan saya. Bagi mereka, bersalaman memang budaya biasa, tetapi kita ada cara sendiri untuk menjaga batas,” ujarnya pada majlis pratonton eksklusif drama Impian Di Seoul, Miffest 2026, di sini, semalam.
Ibu satu anak itu berkata, pemakaian sarung tangan menjadi antara alternatif terbaik sekiranya tidak dapat mengelakkan situasi tersebut, selain cuba meminimumkan sentuhan fizikal.
“Kalau boleh memang kita elakkan. Tadi (semalam) pun ada juga antara mereka yang tetap mahu bersalam, mujur saya pakai sarung tangan, jadi bolehlah bersalam.
Kalau boleh kurangkan, kita kurangkan. Itu sahaja ikhtiar saya sebab bersalaman itu tanda hormat. Macam kita salam sesama mahram, tapi mereka memang biasa berjabat tangan. Jadi apa yang kita boleh buat paling minimum adalah pakai sarung tangan.
“Apapun saya ingin tegaskan, ini pilihan masing-masing. Saya tidak menghakimi atau mengecam sesiapa kerana setiap orang ada pegangan dan cara sendiri,” jelasnya.
Sebelum ini, Wany mencuri perhatian ramai apabila dilihat memakai sarung tangan ketika menghadiri acara melibatkan pihak dari luar negara sebagai persediaan sekiranya berlaku situasi memerlukan dia menyambut salam daripada lelaki bukan mahram yang tidak terlalu faham tentang batas wanita beragama Islam.
Dalam perkembangan lain, Wany bergandingan dengan Khai Bahar menerusi mikrodrama TikTok Impian Di Seoul, musim kedua terbitan jenama mi segera Korea, NONGSHIM SHIN Ramyun.
Siri tersebut menyambung kejayaan Salju Di Busan dengan menampilkan jalan cerita lebih dramatik, konflik emosi mendalam serta pelbagai babak tergantung, selain dilancarkan sempena Malaysia International Film Festival (MIFFest) Ke-9 2026. – HIBGLAM
