IMPIAN Amarra Sophie Rose bersama pengurusnya yang juga penyampai radio Azad Jasmin melangkah ke konsert final musnah apabila diumumkan tersingkir pada pusingan separuh akhir Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) malam tadi.
Amarra, 13, yang diuruskan ibunya, Eira Syazira (mewakili Azad) meraih markah terendah dalam kalangan enam peserta lain selepas mendendangkan lagu Intan Payung.
Sementara lima peserta lain iaitu Azeva (Datuk A.Aida), Cik B (Datuk Seri Vida), Hussain (Jamilul Hayat), Anggrek (Adira Suhaimi) dan Kim Khairi (Safura) layak mara ke pentas final.
Dalam pada itu, Anugerah Manager Paling Perform minggu ini pula masih kekal menjadi milik Jamilul iaitu pengurus kepada Hussain selama empat minggu berturut-turut hasil undian orang ramai menerusi laman web rasmi.
Hussain dan pengurusnya, Jamilul pula menerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie minggu keempat sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 bersama hamper.
Konsert final TTMM2 pada minggu depan bakal bertemakan Malam Ini Kita Punya.
Juara TTMM2 bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000.
TTMM2 dihoskan Datuk Aznil Nawawi sementara barisan juri pula terdiri daripada Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal.
Kerusi juri jemputan minggu keenam TTMM2 pula diisi penyanyi Puan Seri Tiara Jacquelina. – HIBGLAM
