TETAP menghargai karya anak tempatan, penyanyi Mila Jirin nafi enggan menggunakan khidmat komposer Malaysia apabila memilih bekerjasama dengan pencipta lagu Indonesia bagi single terbaru berjudul Tersimpan Dalam Hati.
Mila atau nama lengkapnya Norsyarmilla Jirin, 39, berkata dia sentiasa terbuka berkolaborasi dengan mana-mana penggubah lokal, apatah lagi selepas sedekad menyepi namun kali ini tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Bukan menolak komposer tempatan sebab memang saya ada ajukan permintaan lagu baharu. Tiada respons, barangkali mesej saya masuk ‘spam inbox’.
“Belum masanya. Insya-Allah saya teringin nak bekerjasama dengan komposer tempatan lebih-lebih lagi orang muda. Siapa tak nak nyanyi lagu komposer Malaysia?
“Lagipun album pertama dahulu iaitu pada 2011 adalah 100 peratus karya komposer kita. Tak mengapa, mana tahu selepas ini ada rezeki lain,” katanya selepas pelancaran Tersimpan Dalam Hati di Bizmilla Wedding Centre, di sini, hari ini.
Lagu nukilan komposer popular dari seberang, Ilham Baso itu turut menjalani penggambaran video muzik di Jakarta yang juga idea juara Akademi Fantasia musim lima (AF5) terbabit.
Pada masa sama, Mila mendedahkan nyanyian tetap dekat di hati malah masih aktif beraksi terutama di majlis perkahwinan yang diadakan di dewan acara kendaliannya.
Sebenarnya saya taklah tak menyanyi. Kalau di Bizmilla, mana-mana majlis kahwin yang saya lalu, saya akan ‘payung’ beberapa lagu.
“Cuma selalu menyanyikan lagu penyanyi lain yang hits dan terkini sebab dendangan saya banyak melankolik, fasal putus cinta. Tak sesuai pula perdengarkan di acara bahagia.
“Di rumah pula suami sediakan ruang agar saya dapat penuhi hobi. Apa pun hobi ini bermanfaat. Di situ saya terus asah vokal,” ujarnya.
Mengulas tempoh yang dianggap sepi daripada menghasilkan karya baharu, Mila berkata masih diajukan tawaran termasuk merakamkan lagu runut bunyi (OST), namun sukar berikan fokus penuh terhadap projek tersebut.
Katanya, kemunculan album baharu nanti yang dijangka akhir 2026 juga dianggap sebagai projek besar memandangkan penerbitan album penuh kini semakin jarang dilakukan.
“Pada saya bingkisan ini nanti sangat besar sebab sekarang tak ramai yang hasilkan album. Jadi saya nak buat sebaik mungkin.
Sekarang saya pun hampir masuk usia 40 tahun. Mana tahu ini bingkusan terakhir saya, tapi janganlah. Saya harap bukan, insya-Allah,” katanya. – HIBGLAM
